Tuesday 18 April 2017

Pegawai imigresen rogol tahanan warga Thailand didakwa


Seorang pegawai Jabatan Imigresen ne­geri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu merogol, melakukan seks oral dan mengugut seorang tukang urut wanita warga Thailand, bulan lalu.

Frankie Chua Siong Kiat, 31, yang menutup keseluruhan mukanya dengan hud baju panas warna kelabu yang dipakainya ketika di luar mahkamah, didakwa melakukan ketiga-tiga perbuatan itu di dalam bilik pemeriksaan badan wanita, pejabat penerimaan, Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo di sini antara pukul 1 dan 1.15 petang, 9 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, lela­ki itu didakwa merogol, mela­ku­kan persetubuhan yang bertentangan dengan tabii dan me­ngugut mang­sa dengan mengatakan “Ja­ngan cakap pada kawan-kawan atau sesiapa tentang apa yang ja­di.”

Pertuduhan rogol dibuat me­ngikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan sementara tuduhan seks oral mengikut Seksyen 377C akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pertuduhan mengugut pula dikemukakan mengikut Seksyen 506 akta tersebut yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau ke­dua-duanya.­

Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin yang me­ngendalikan pendakwaan pada asalnya tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh namun mencadangkan ikat jamin RM20,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan.

Peguam Nahdan Rengga­na­than Abdullah yang mewakili Fran­kie bagaimanapun memohon jaminan dibenarkan pada jumlah minimum dengan alasan anak guamnya masih berkhidmat sebagai penjawat awam dan risiko untuk tidak hadir ke mahkamah adalah sangat tipis.

Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 dan 9 Mei ini untuk mengambil keterangan mangsa serta lantikan jurubahasa Thailand. - Utusan Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments