Friday, 7 April 2017

Kanak-Kanak Perempuan Ditemui Hidup Dengan Monyet


Dibesarkan oleh sekawan monyet, berjalan menggunakan kedua-dua kaki dan tangannya serta berperilaku seperti seekor monyet. Ia kedengaran seperti dalam adegan filem, bukan? Tetapi kali ini, ia benar-benar berlaku.

Seorang gadis ditemui sedang berkeliaran dalam keadaan telanjang bersama sekawan monyet di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Katarniaghat di India pada Januari lalu, lapor Associated Press.

Gadis tersebut ditemui oleh kumpulan pembalak, sebelum diselamatkan oleh seorang polis, Suresh Yadav yang sedang membuat rondaan di kawasan tersebut.

Ketika melihat gadis itu, Suresh cuba untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak itu, namun kumpulan monyet tersebut bertindak agresif dengan mengusirnya.

Menurut laporan media antarabangsa, kanak-kanak perempuan itu tidak boleh berkomunikasi dan berkelakuan seperti seekor monyet.

Pegawai polis Dinesh Tripathi berkata, kanak-kanak itu berjaya diselamatkan meskipun pihak polis berdepan dengan kesukaran untuk membawa dia keluar daripada kawanan binatang itu.



“Gadis itu dalam keadaan telanjang dan sangat selesa (tinggal) bersama monyet. Ketika mereka cuba menyelamatkan kanak-kanak itu, mereka telah dikejar oleh binatang tersebut.

“Apabila gadis itu dipanggil, sekumpulan monyet itu menyerang tetapi dia (pegawai polis) berjaya menyelamatkannya. Dia memecut laju menggunakan kereta polis ketika haiwan tersebut mengejar,” katanya kepada AP.

Kanak-kanak itu telah dibawa ke hospital dan dilaporkan stabil selepas dua bulan kemudian dan kini masih di bawah penjagaan pihak kebajikan.

"Apabila dia dimasukkan di sini dia dalam keadaan ketakutan dan sentiasa menutup dirinya seperti haiwan, seperti seekor monyet.

“Ada kecederaan di beberapa bahagian badannya. Kami merawat dan menjaganya. Dia mengalami kekurangan zat makanan dan mungkin makan (seperti) apa yang dilakukan binatang. Dia juga cepat marah dan sukar untuk dikawal,” kata Ketua Pegawai Perubatan Dr Dinesh Singh dalam satu kenyataan, seperti dilapor Times of India.

Menurut Dr Singh, pihaknya kini berusaha untuk merawat kanak-kanak itu dan mengajarnya memahami bahasa manusia.

“Dia tidak boleh makan makanan dalam pinggan, sebaliknya dia akan makan makanan yang diletakkan atas katil,” katanya.

Kanak-kanak itu diberi gelaran 'Gadis Mowgli' kerana kehidupannya sama seperti kisah dongeng The Jungle Book, yang ditulis oleh Rudyard Kipling.

Pihak berkuasa berusaha mengenalpasti identiti dan asal usul kanak-kanak itu yang berkemungkinan telah ditinggal oleh ibu bapanya. - Malaysiandigest

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments