Thursday 5 October 2017

Wajib Lulus 60 Markah Ujian Untuk Bercerai


BEIJING – Jika lazimnya sesi kaunseling diperlukan bagi mereka yang menjalani proses penceraian, namun di wilayah Yibin pula, pasangan suami isteri perlu mengambil peperiksaan penceraian!

Menurut laporan stesen penyiaran CGTN milik pemerintah, peperiksaan pelik itu adalah hasil kajian oleh hakim Mahkamah Penduduk Yibin, Wang Shiyu selepas menyedari peratusan mereka yang bercerai sangat besar.

Tujuan beliau adalah untuk membuat pasangan suami isteri berfikir dua kali sebelum membuat keputusan untuk mengakhiri perkahwinan mereka dan juga memberi peluang untuk mengimbas semula kenangan manis bersama.

Wang akan mengetengahkan siri soalan bagi suami isteri yang mesti dijawab secara berasingan. Jika mereka mendapat markah kurang daripada 60, Wang akan segera meluluskan permohonan perceraian pasangan itu.

Bagaimanapun sekiranya markah adalah sebaliknya yang berlaku, mereka harus terus berusaha kekal pertahankan perkahwinan meskipun pasangan berkenaan memang tidak bersetuju dengan keputusan ditetapkan oleh Wang.

“Niat kami adalah untuk tahu status sebenar perkahwinan pasangan. Mereka mungkin juga menilai diri sendiri dan pertimbang pasangan mereka. Selepas imbas kehidupan, mereka akan berfikiran lebih rasional,” kata Wang.

“Sebagai wilayah yang ada penduduk lebih sejuta, mahkamah di Yibin menerima ratusan kes perceraian setiap tahun. Ia membentuk peratusan yang besar memandangkan saya juga mempunyai keluarga dan anak sendiri.

“Apabila saya menangani kes itu, saya tidak mahu melihat pasangan bercerai secara terburu-buru,” tambahnya. Peperiksaan itu mengandungi tiga bahagian iaitu ‘isi tempat kosong’, ‘soalan ringkas’ dan ‘bina ayat-ayat’.

Soalan meliputi maklumat asas seperti tarikh lahir anggota keluarga, makanan kegemaran, tarikh ulang tahun perkahwinan mereka dan juga soalan lebih mendalam seperti “Apakah tanggungjawab anda dalam keluarga ini?”.

Menurut CGTN, pasangan terbabit juga perlu menjawab soalan cepumas seperti: “Apakah perkara baik dan buruk yang anda telah lakukan sejak berkahwin?” serta “Apakah maksud perkahwinan dan keluarga bagi anda?”

Setelah pasangan itu menyerahkan jawapan mereka, Wang akan baca jawapan dan memberikan markah. Namun begitu, tiada sesiapa tahu kriteria bagaimana digunakan untuk semak dan beliau pula enggan mendedahkannya.

Berita mengenai peperiksaan perceraian itu baru-baru ini menjadi tular dalam kalangan pengguna media sosial di China dan mendapat respons pelbagai daripada orang ramai termasuk ada yang memuji niat murni Wang.

Ia dianggap mampu cegah pasangan bercerai, tetapi ada berpendapat itu adalah perkara peribadi dan hakim harus memberi tumpuan kepada perkara lain seperti alimoni dan hak penjagaan anak-anak. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments