Thursday 5 October 2017

Protes Oktoberfest, Jamal Pecah Botol Arak Depan SUK


SHAH ALAM – Pemimpin kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mencetuskan sensasi di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor sebagai tanda bantahan terhadap festival arak Oktoberfest.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu turut hadir membawa beberapa buah peti arak jenis bir di hadapan pagar bangunan tersebut di seksyen 14, yang ditutup sebaik sahaja beliau tiba pada kira-kira pukul 10 pagi, Khamis.

“Hari ini saya mahu membawa semua bir ini ke pejabat Azmin Ali (Menteri Besar Selangor).

‘Dia dan geng dia boleh minum sebanyak mana yang mereka mahu di dalam (pejabat itu) tetapi bukan di luar,” kata Jamal.

Jamal dan pengikutnya kemudiannya menerbalikkan peti-peti arak itu di hadapan pintu pagar bangunan SUK dan bertindak memecahkan kesemua minuman keras itu menggunakan penukul.




Kesemua peti dan botol bir itu ditampal dengan logo bertulis “The Better Beer Festival 2017” bagi melindungi jenama minuman berkenaan.

Selepas memecahkan botol-botol bir tersebut, Jamal terus masuk ke dalam kenderaannya tanpa sebarang suara.

Seorang pegawai keselamatan daripada pejabat kerajaan negeri kemudiannya mengejar Jamal dan memberitahu pengikutnya bahawa mereka tidak boleh meninggalkan sisa botol pecah di luar pintu pagar bangunan itu.

Bagaimanapun, Jamal dan kumpulannya tidak mempedulikan arahan lelaki itu dan terus meninggalkan lokasi tersebut. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments