Thursday 16 November 2017

Cacilah, Caci Sebanyak Mana Yang Hendak Dicaci – Iqram


BEBERAPA minggu lalu kecoh di media sosial apabila Iqram Dinzly dikatakan tidak waras kerana sikapnya makin pelik.

Ekoran daripada itu, pelakon berusia 36 tahun ini memuat naik satu posting di laman Instagram meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan netizen yang tidak habis-habis bercakap mengenai dirinya.


“Aku tahu aku manusia alpa. Aku manusia yang banyak berdosa. Aku usaha untuk tidak menyusahkan sesiapa. Namun tetap jua manusia itu bersangka-sangka,”tulisnya di laman Instagram.

Selain itu, anak jati negeri Perak ini turut mempersoalkan salahkah untuk dia berseni dalam karya dan juga pemakaiannya? Ini kerana ramai netizen menyatakan fesyen yang ditampilkannya kini agak pelik.

“Salahkah aku berseni sendiri. Tanpa meminta simpati diri. Aku seolah-olah ingin meminta royalti terhadap mereka yang mengambil kesempatan terhadap semua ini,”tambahnya lagi.

Sebelum ini, pelakon bagi drama Dunia Baru ini dikecam kerana memuat naik fotonya bersama arwah bapanya yang sedang terlantar. Tambahan pula, gambar tersebut menunjukkan ada gula-gula di dalam mulut bapanya.


Namun, adiknya, Iqbal Dinzly menjelaskan tentang perkara tersebut. Katanya, arwah ayahnya yang meminta untuk merasa makan lolipop tersebut.

Namun, bapanya telah menghembuskan nafas terakhir pada 10 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Iqram atau nama sebenarnya Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin turut dicop tidak waras gara-gara memuat naik beberapa video yang dianggap pelik.

Walaupun teruk dikecam, pelakon ini tidak mempedulikan kata-kata negatif yang dilontarkan. Sebaliknya dia menyatakan hanya mahu menjadi diri sendiri.

“Terima kasih kerana mengambil berat mengenai diri saya. Cacilah, caci sebanyak mana yang hendak dicaci.

“Saya hanya mampu berdoa dan akan berusaha untuk cuci, suci dan murni dengan segala yang terjadi. Itu antara saya dan Ilahi,” tulisnya lagi.

Khabarnya kini Iqram dan ibunya sedang membangunkan satu budaya fesyen yang lebih berkarisma mengikut patuh syariah yang diberi nama Bawaabata Merebucks. – MYNEWSHUB.CC/SA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments