Sunday 26 November 2017

Pelacuran Di Sabah Mungkin Terbabit Pemerdagangan


JOHOR BAHRU – Siasatan terhadap penemuan wang tunai RM13.04 juta di Sabah dua hari lepas yang disyaki membabitkan sindiket pelacuran akan turut menjurus sama ada ia berkaitan kes pemerdagangan orang, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata perlu dipastikan sama ada ia kes terpencil atau membabitkan sindiket besar yang menggunakan pendatang asing tanpa izin untuk kegiatan pelacuran.

“’Ini menunjukkan betapa lumayannya industri pelacuran di negara kita yang perlu dibendung dan saya mengalu-alukan tindakan Jabatan Imigresen menubuhkan jawantankuasa khas untuk menyiasat perkara itu dengan lebih lanjut,” katanya berhubung jawatankuasa khas bagi menyiasat kes itu yang ditubuhkan Jabatan Imigresen.

Nur Jazlan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program sarapan pagi bersama rakyat di Warung Pak Lah, Dataran Utama, Taman Kempas, di sini, hari ini.

Beliau yakin dengan adanya jawatankuasa khas menyiasat kes itu, Jabatan Imigresen akan dapat menyelesaikannya kes itu secepat mungkin.

Dalam operasi Jabatan Imigresen di Kota Kinabalu dua hari lepas itu, turut menyaksikan tangkapan 17 wanita warga Filipina berusia belasan tahun sehingga 30-an, dipercayai mangsa sindiket pelacuran yang turut didalangi tiga lelaki tempatan.

Sementara itu, mengulas sistem Tracking Refugees Information System (TRIS), Nur Jazlan berkata kerajaan sedang mengkaji hala tuju sistem berkenaan selepas tempoh percubaan Program Proof of Concept (POC) tamat pada 30 Sept lepas.

“Bagi program POC, sebanyak 3,500 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mendaftar. Nampak berjaya dari segi sistem, dari segi proses sudah berjaya, cuma kementerian sedang kaji hala tuju untuk meluaskan program ini,” kata Nur Jazlan.

Menurut beliau, sistem TRISi bertujuan mengumpul data, mengenal pasti dan mengesahkan mereka yang menerima kad daripada UNHCR selain data-data berkenaan boleh digunakan oleh Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments