Monday 27 November 2017

Doktor Beri Elyana Masa Setahun Untuk Hidup


MENGUCAP panjang kami apabila mendengar pengumuman penyanyi Elyana yang mengakui menghidap kanser limfoma tahap keempat selepas tersingkir daripada musim Gegar Vaganza musim keempat (GV4), malam tadi.

Masakan tidak, berita itu ternyata amat mengejutkan kami kerana Elyana kelihatan aktif dan lincah dengan aktiviti hariannya di Instagram.

Beritahu Elyana, dia disahkan menghidap kanser tahap kedua sejurus selepas melahirkan cahaya mata sulung, Cinta Sumayyah, kira-kira tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, menurut Elyana, pada awalnya doktor telah memberikan rumusan bahawa dia hanya mempunyai masa setahun untuk hidup oleh kerana penyakitnya itu.

Perkara itu membuatkan penyanyi Tak Tercapai Akalmu itu untuk nekad berhenti rawatan kimoterapinya dan terus berjuang melawan kanser yang dihidapinya.

“Doktor beritahu saya ketika itu saya hanya ada setahun untuk hidup. Saya nekad berhenti kimo dan cabar diri saya untuk berjuang. Syukur umur saya panjang sampai hari ini,” katanya yang mengingatkan pesakit kanser yang lain agar terus positif berjuang melawan penyakit itu.

“Ada satu ketikanya, saya menghilangkan diri kerana berubat, namun kos perubatan kimoterapi memakan sejumlah wang yang besar. Jadi saya memilih untuk menggunakan alternatif lain,” katanya lagi.

Pasti ramai yang tidak tahu apakah sebenarnya penyakit yang dihidapi Elyana ini,kan?

Kanser limfoma atau Hodgkin-Lymphoma (HL) merupakan salah satu jenis kanser darah yang amat merbahaya dan selalunya berlaku pada golongan muda.

Yang lebih menakutkan, dianggarkan satu daripada lima rakyat Malaysia menghidap HL dan 60 peratus daripadanya adalah lelaki.

HL merupakan kanser darah yang bermula dari sel darah putih bernama lymphocytes yang mengalir ke seluruh tubuh menerusi bendalir dikenali sebagai limfa, yang merupakan sebahagian daripada sistem imun manusia.

Apabila nodus limfa membengkak, lymphocytes yang tidak normal akan membentuk sel tumor yang boleh menyebabkan berlakunya kanser ini.

Antara petanda awal penyakit ini adalah nod limfa membengkak pada bawah ketiak, leher, atau celah paha,demam, badan menjadi lemah dan keletihan, hilang berat badan, sentiasa berpeluh, sukar benafas dan sering sakit dada, gatal-gatal pada kulit dan ruam kulit.

Walaupun peratusan untuk sembuh adalah tinggi, jangka hayat pesakit adalah rendah bagi mereka yang tidak bertindak balas kepada terapi semasa.

Elyana turut ada memberitahu bahawa untuk sembuh, dia tidak boleh terlalu stres atau dalam keadaan tertekan. Oleh itu, dia sentiasa menceriakan dirinya dan membuat perkara-perkara yang menggembirakan hatinya agar mindanya tidak terganggu untuk melawan penyakit kansernya itu.

Kami doakan agar Elyan diberikan kesembuhan seperti sedia kala, Sesungguhnya Elyana memang seorang wanita yang cekal dan tabah! - MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments