Wednesday 15 November 2017

Stesen Angkasa China Bakal Hentam Kuala Lumpur?


BERITA mengenai stesen angkasa milik China mungkin bakal terhempas di bumi Malaysia telah meresahkan banyak pihak terutama dalam kalangan netizen yang ikuti perkembangan semasa.

Ini adalah berikutan laporan dalam dua akhbar berbahasa Cina tempatan, Oriental Dailydan Sin Chew, menyatakan bandar raya Kuala Lumpur antara disenarai menjadi lokasi serpihan stesen itu dijangka terhempas.

Malah dalam laporan terkini pihak Agensi Angkasa Eropah (ESA) mengatakan stesen angkasa sepanjang 10.4 meter itu bakal menuju ke daratan antara bulan Januari dan Mac 2018 depan.

Jadi ramailah netizen yang mula melahirkan kerisauan dan tidak kurang juga, menganggap cerita mengenai stesen angkasa yang terapung-apung di orbit konon adalah dongeng belaka.

Sebelum mengupas isu ini dengan lebih lanjut, mari kita lihat fakta-fakta mengenai kewujudan stesen angkasa yang diberi nama sebagai Tiangong-1 ini.

Ia telah dilancarkan sebagai prototaip pada September 2011 untuk misi selama lima tahun untuk tugas mengorbit ruang angkasa China sahaja.

Tiangong yang bermaksud ‘Istana Langit’ ini adalah usaha Beijing dalam menyiarkan simbolik kuasa politik negara komunis itu dalam dunia penerokaan angkasa.

Bagaimanapun setelah menyelesaikan misinya pada 21 Mac 2016, Timbalan Pengarah Pejabat Kejuruteraan Angkasa, Wu Ping mengumumkan hubungan telemetri dengan Tiangong-1 telah terputus.

Ini menimbulkan spekulasi bahawa China telah hilang kawalan terhadap stesen angkasa tersebut.

Akhirnya pada September, Beijing mengesahkan spekulasi bahawa stesen angkasa Tiangong-1 telah disahkan tidak dapat dikawal dan akan gugur perlahan-lahan dari orbit ke dalam atmosfera Bumi pada separuh kedua 2017.

Kawasan terhempas masih belum dapat dianggarkan dengan pasti tetapi menurut T.S. Kelso dari Center for Space Standards & Innovation (CSSI), Amerika Syarikat, altitud pada awal 2017 adalah 360 kilometer (km) dari aras laut.

Namun stesen angkasa itu kini dilaporkan telah menyusut kepada 310 km pada penghujung Oktober 2017. Ia akan terus menyusut dari orbit sehingga ia menempuh kembali atmosfera bumi sekitar hujung Mac 2018.

Sasaran impak hanya dapat dikenal pasti apabila stesen tersebut menempuh kembali atmosfera bumi dan dalam jarak beberapa hari, ia akan terus jatuh di bawah pengaruh graviti.

Ketika di dalam tempoh ini, para saintis akan dapat menganggarkan dengan kepastian tinggi dimanakah stesen angkasa tersebut beserta serpihan-serpihannya akan menghentam permukaan bumi.

Jadi persoalan yang sering menjadi keluh-kesah ialah adakah Malaysia sememangnya merupakan salah satu sasaran impak satelit berkenaan?

Di sini orang ramai perlu memahami kebarangkalian ia untuk jatuh di Malaysia mungkin adalah kecil. Tambahan pula ada lebih 2,000 satelit mengorbit ruang angkasa Malaysia setiap hari.

Sebagai pencerahan, setiap ketulan batuan angkasa lepas, iaitu meteoroid yang merempuh atmosfera bumi setebal lebih kurang 100 km akan terbakar dan tidak akan sampai ke permukaan bumi.

Maka sebahagian besar stesen Tiangong-1 yang jatuh menerusi atmosfera bumi akan terbakar, berkecai dan hangus di udara sebelum sempat sampai ke darat, biarpun berat asalnya 8.5 tan, ia akan musnah menjadi serpihan kecil.

Namun ia sebenarnya masih gagal meredakan kebimbangan pakar astrofizik, Jonathan McDowell yang memberitahu akhbar Guardian, di mana serpihan seberat 100 kilogram mungkin akan kekal hingga jatuh ke bumi.

Menurutnya, adalah mustahil untuk mengagak serpihan terbabit akan menghentam di kawasan mana.

“Biarpun beberapa hari sebelum ia masuk semula ke ruang atmosfera bumi, kita tidak tahu bila ia akan turut dan di mana ia akan jatuh hinggalah enam atau tujuh jam kemudian,” katanya.

Katanya lagi, serpihan seberat itu boleh menyebabkan kerosakkan pada bangunan atau kenderaan, ia juga boleh menyebabkan kecederaan serius malahan kematian sekiranya dihentam oleh objek tersebut.

Kata Mcdowell lagi, anggaran stesen berkenaan jatuh adalah berada di mana-mana antara latitud 43 darjah Utara dan 43 darjah Selatan seperti mana yang dipaparkan menerusi gambarajah di bawah.

Melalui gambar ini, lebih 70 peratus dari kawasan anggaran adalah merupakan laut, malah terdapat pelbagai lagi negara lain di dalam kawasan ini yang mempunyai sudut geografi berkali-kali lebih luas daripada Malaysia.

Bahkan, penganalisis meteor terkenal, Thomas Dorman mengatakan serpihan stesen angkasa itu berkemungkinan terhempas di lautan dan tidak mustahil ia boleh terhempas di lokasi penempatan yang penuh dengan penduduk.

Apa pun, penyusutan stesen angkasa Tiangong-1 ini sedang diperhatikan dan dipantau secara teliti oleh pelbagai agensi angkasa antarabangsa lain seperti ESA, NASA, UNOOSA dan CNSA sendiri.

Sekiranya kawasan impak dapat dikenal pasti, orang ramai sudah semestinya akan diberitahu segera melalui siaran media massa.

Jadi apa yang boleh dilakukan untuk mengelak perkara ini daripada berlaku kecuali dengan mendoakan yang terbaik.

Diharapkan serpihan daripada Tiangong-1 ini tidak akan mendarat atau terhempas di kawasan yang berpenghuni. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments