Thursday 16 November 2017

Renjatan Elektrik Pengecas Telefon ‘Tarik’ Ajal Remaja


DALAM dunia tanpa sempadan kini, nampaknya telefon bimbit menjadi seumpama peneman ke mana sahaja kita berada sepanjang masa.

Namun, jangan pula diabaikan keselamatan apabila dikelilingi dengan peranti mudah alih atau gajet-gajet canggih masa kini kerana banyak kes maut akibat alat tersebut.

Terbaharu pada 12 November lalu, seorang remaja perempuan 14 tahun dilaporkan maut apabila terkena renjatan elektrik dari pengecas telefon bimbitnya.

Menurut laporan China Times, Le Thi Xoan melakukan rutin hariannya sebelum tidur dengan mengecas telefon bimbit berjenama Apple iPhone 6 dan meletakkan di atas katil.

Namun, tindakannya itu seakan-akan ‘makan’ tuan apabila dia dipercayai terkena renjatan eletrik yang disalurkan dari wayar yang terdedah dari kabel telefon tersebut.

Dilaporkan, kabel pengecas telefon bimbitnya itu mempunyai koyakan kecil. Sejurus meletakkan gajet yang sedang dicas itu ke atas katil, Thi Xoan terkena renjatan apabila bersentuhan dengan katil tersebut.

Remaja yang berasal dari Hoan Kiem, Vietnam itu dikejarkan ke sebuah hospital selepas ahli keluarganya menjumpai dirinya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Malangnya, misi menyelamatkan mangsa terlambat apabila dia sudah pun disahkan meninggal dunia.

Pihak polis yang menyiasat kes ini mengesyaki kematian remaja berkenaan berpunca daripada renjatan elektrik yang mengalir dari kabel pengecas berkenaan.

Siasatan juga mendapati terdapat kesan hitam di hujung kabel dan dipercayai kesan terbakar.

Bagaimanapun, pihak polis masih belum boleh mengesahkan kabel tersebut adalah kabel original yang dibeli dari Apple Store ataupun kabel tiruan. Kes masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Mungkin selepas ini, semua orang harus mengambil berat isu ini dan jangan lupa untuk periksa dahulu keadaan pengecas berkenaan sama ada selamat digunakan atau tidak. – MYNEWSHUB.CC/SA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments