Thursday 5 October 2017

‘Super Trio’ Selamat Mangsa Kebakaran Kereta Mewah


LAZIMNYA apabila insiden kebakaran berlaku, anggota bomba sering kali menjadi wira tidak didendang meskipun telah bertungkus lumus menyelamatkan mangsa.

Namun, tular sejak semalam menerusi media sosial apabila tiga orang pekerja pembinaan secara tidak langsung menjadi hero selepas mereka menyelamatkan tiga mangsa terperangkap dalam sebuah kereta jenis BMW yang kemudiannya hangus terbakar.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Jalan Pintasan Pelabuhan-Sungai Ular, berhampiran Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di Kuantan, Pahang sekitar pukul 9.45 pagi, semalam.

Pekerja-pekerja buruh binaan itu dilaporkan membantu membawa mangsa keluar ke tempat yang selamat selepas mereka berjaya melompat keluar sebelum kenderaan itu kemudiannya terbakar.


Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang (JBPM) Malaysia, Anuar Hassan berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng berserta sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pihak bomba mendapati ketiga-tiga mangsa sudah selamat dikeluarkan daripada kereta mewah berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Jelasnya lagi, pihak bomba mengambil masa kira-kira dalam satu jam untuk memadamkan kebakaran kenderaan terbabit.

Difahamkan, ketika kejadian, salah seorang mangsa bernama Zuraini Basir bersama dua lagi rakannya yang masih belum dikenal pasti identiti dikatakan dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke kawasan perindustrian Gebeng.

Kereta yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar penghadang kiri jalan dan kemudian terbakar.

Bagaimanapun, identiti tiga orang buruh berhati mulia itu tidak pula didedahkan siapakah sebenarnya mereka.

Kisah keberanian mereka telah dikongsi secara meluas di laman sosial dan rata-rata netizen memuji tindakan pantas pekerja berkenaan.


Sikap sebegini yang seharusnya ada pada setiap orang apabila berlaku kecemasan. Bukan hanya sekadar rakam gambar dan berkongsi di laman sosial untuk mengaut banyak ‘likes’. – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments