Monday, 9 October 2017

Main Permainan Di Telefon Sampai Buta


CHANG’AN (China) – Seorang wanita berusia 21 tahun buta sebelah mata selepas bermain permainan komputer di telefon bimbitnya selama seharian tanpa henti.

Wanita itu yang dikenali sebagai Wu berkata, mata kanannya tiba-tiba kabur pada 1 Oktober lalu ketika bermain permainan, King of Glory di telefon bimbit.

Pada mulanya, Wu menyangka dia hanya keletihan dan terus tidur tetapi apabila bangun keesokan harinya, mata kanannya terus tidak boleh melihat.

Wu dibawa keluarganya ke hospital dan doktor mengesahkan dia mengalami satu keadaan dikenali sebagai arteri retina tersumbat.

Keadaan itu biasanya berlaku pada orang tua tetapi doktor percaya mata Wu terlalu penat dan tertekan kerana sering merenung skrin telefon yang kecil.

Wu bekerja di bahagian kewangan di mana dia sering menggunakan komputer sekali gus memberi tekanan yang lebih kepada matanya.

Wanita itu juga mengaku dia ketagih bermain permainan di telefon bimbit hingga mengabaikan tidur dan pemakanannya.

“Ketika cuti saya akan bangun pada jam 6 pagi, mengambil sarapan sebelum bermain hingga jam 4 petang. Saya akan berhenti untuk makan dan tidur sebentar sebelum sambung bermain hingga jam 1 atau 2 pagi.

“Kadang kala saya malas untuk berhenti atau makan dan akan bermain tanpa henti sepanjang hari,” katanya.

Wu kini masih dirawat di hospital di mana doktor masih berusaha memulihkan semula penglihatannya.

Sejak kes Wu tular di media sosial di China, pakar mata menasihatkan orang ramai menggunakan telefon mereka kepada 30 minit ke satu jam pada satu-satu masa sebelum berehat. – Agensi/myMetro Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments