Thursday 5 October 2017

Anak Tertolak Gear D, Kereta Masuk Parit


RASANYA, sudah banyak berlaku kemalangan melibatkan anak yang ditinggalkan seorang diri di dalam kereta.

Namun masih ramai golongan ibu bapa yang seakan-akan tidak ambil iktibar dengan kejadian yang berlaku.

Terbaharu, kejadian di sebuah kawasan perumahan di Parit Buntar, Perak ini seharusnya dijadikan peringatan buat ibu bapa biarpun hanya meninggalkan anak kecil selama lima minit di dalam kenderaan.

Tragedi malang yang berlaku di hadapan Klinik Kesihatan KM Batu 1 Tanah Kebun itu tercetus apabila seorang ibu yang memandu Nissan Serena telah meletakkan kenderaannya di tepi jalan.

Dia kemudian keluar meninggalkan anak perempuan seorang diri di dalam kereta berkenaan.


Dengan enjin keretanya yang masih hidup, anaknya secara tidak sengaja tertolak masuk gear D, menyebabkan kereta tersebut terus bergerak sehingga terbabas menjunam ke dalam parit.

Mujurlah, anak kepada wanita berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Gambar kejadian itu turut menjadi tular sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen yang kesal dengan tindakan ibu kanak-kanak berkenaan.

“Dah banyak berlaku tetapi kita masih buat benda yang sama, nak kata apa dah banyak viral kejadian sebegini tapi masih ada lagi yang degil,” kata Rizalahmad.


“Kalau nak tinggal anak sekejap pun, pastikan gear berada di ‘P’, bukannya di ‘N’. Ini mesti kes driver letak gear di ‘N’ menyebabkan anak dia main atau tertolak gear itu ke ‘D’, lalu terbabas dalam parit,” kata Sarah.

Justeru, golongan ibu bapa dinasihatkan tidak mengambil jalan mudah dengan meninggalkan anak-anak kecil dalam kereta dengan enjin yang masih hidup.

Sebaliknya, bawalah anak-anak keluar bersama dan itu lebih selamat daripada air mata membasahi pipi mengenang kesilapan yang sepatutnya dapat dielakkan. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments