Wednesday 4 October 2017

Misteri Kotak Hitam Disangka Bom Kini Terjawab


KES penemuan sebuah kotak hitam oleh orang ramai berhampiran pintu masuk pusat belah beli di Jalan Bukit Bintang terjawab apabila pihak berkuasa mengesahkan objek itu bukan bahan letupan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pihak polis bersama unit pengesan anjing bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat panggilan kecemasan kira-kira jam 10 malam tadi.

“Anggota polis bantuan pusat beli belah berkenaan memaklumkan penemuan kotak hitam berukuran kira-kira 10 x 5 sentimeter yang kelihatan seperti bom.

“Sebaik terima panggilan kecemasan daripada angota polis bantuan, sepasukan polis bersama unit pengesan anjing (K9) dikerahkan ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan,” katanya dilapor Harian Metro.

Tambah Mohd Syukri lagi, kemudian unit pemusnah bom pula tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 12 tengah malam bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.


“Kotak itu dimusnahkan oleh unit pemusnah bom pada 1.50 pagi,” ujar Mohd. Syukri. Jelasnya lagi, berdasarkan pemeriksaan tiada sebarang bahan letupan yang ditemui dalam kotak berkenaan.

Bagaimanapun, siasatan masih terus dijalankan bagi mengenal pasti isi kandungan dalam kotak hitam tersebut.

Sementara itu, pihak polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian bagi mengesan identiti individu tidak bertanggungjawab yang meletakkan kotak tersebut.

“Kami akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian bagi mengesan individu yang meletakkan kotak berkenaan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments