KUALA LUMPUR – Polis membawa seorang daripada tujuh suspek yang dipercayai membakar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, ke lokasi kejadian, pagi tadi.
Suspek yang berusia 16 tahun itu dibawa oleh pegawai dan anggota polis dengan menaiki sebuah van ke lokasi kejadian pada jam 11.50 pagi, dipercayai dari lokap Balai Polis Jalan Pantai, di sini.
Dia kemudian dibawa masuk ke dalam pusat tahfiz sebelum menuju ke bahagian belakang untuk menunjukkan kepada pihak polis mengenai situasi yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian 14 September lalu.
Media tempatan melaporkan, selepas dilihat berada di sana selama lebih kurang 10 minit, suspek kemudian dibawa menaiki tangga belakang menuju ke tingkat atas bangunan pusat tahfiz berkenaan.
Suspek dibawa keluar dari pusat tahfiz itu pada jam 12.54 tengah hari. Pihak polis turut memperketatkan kawalan di kawasan persekitaran bagi mengelakkan wajah suspek dirakam pihak media dan orang awam.
Sabtu lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dalam sidang akhbar tergempar mengesahkan penahanan tujuh suspek remaja lelaki Melayu tempatan berusia dari 11 tahun hingga 18 tahun.
Insiden tersebut dipercayai akibat kumpulan suspek berkenaan berdendam tidak berpuas hati dalam perselisihan faham sebelum itu dan kesemua mereka tidak bersekolah dengan enam dikesan dipengaruhi dadah.
Dalam kejadian pada 14 September lalu, seramai 21 murid dan dua guru yang juga warden asrama pusat tahfiz itu terbunuh akibat terperangkap dalam kebakaran tragik awal Subuh. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments