SELALUNYA sesuatu perkara yang negatif dilakukan bermotifkan dendam atau sebab-sebab tertentu.
Namun ‘uncle’ ini mengaku sengaja menukarkan beratus-ratus buah bagasi penumpang kapal terbang di Lapangan Terbang Changi, Singapura dan menghantar kesemuanya ke destinasi yang salah tanpa sebab!
Lapor akhbar Straits Times, petugas bagasi bernama Tay Boon Keh, 63, itu telah didakwa di mahkamah Selasa lalu dengan 286 pertuduhan.
Bagaimanapun, dia tidak menjelaskan sebab melakukan kesalahan tersebut namun dia tetap mahu mengaku salah.
Pendengaran semula kes akan berlangsung pada 17 Oktober depan dan jika disabitkan kesalahan, dia boleh dipenjara selama setahun atau denda bagi setiap pertuduhan.
Dalam pada itu, menurut jurucakap Lapangan Terbang Changi, tiada pencerobohan keselamatan berlaku.
Lapangan terbang antarabangsa keenam paling sibuk di dunia dan telah menerima 59 juta penumpang pada tahun lalu.
Selain itu, lapangan terbang itu menawarkan penerbangan ke 380 bandar seluruh dunia yang melibatkan lebih 100 syarikat penerbangan.
Menurut laman web rasmi Changi Group Airport, lapangan terbang itu menguruskan kira-kira 70,000 bagasi setiap hari.
Menurut fakta kes, bagasi-bagasi yang sepatutnya dihantar ke Perth, Manila, Frankfurt, London dan San Francisco dilaporkan antara yang terjejas disebabkan Boon Keh. – Agensi/MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments