ISTANBUL – Pemenang pertandingan ratu cantik kebangsaan Turki hari ini dipaksa menyerahkan semula mahkotanya beberapa jam selepas itu susulan tweet berkaitan insiden rampasan kuasa gagal yang dianggap menghina.
Itir Esen, 18, memenangi gelaran Miss Turkey 2017 di bandar ini malam tadi dan sepatutnya mewakili negara itu dalam pertandingan Miss World di China.
Bagaimanapun, penganjur berkata, ia tidak akan berlaku selepas mereka menemui tweet yang tidak boleh diterima dihantar Esen pada ulang tahun pertama cubaan rampasan 15 Julai tahun lalu, bertujuan menyingkirkan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Dalam tweet itu, Esen membandingkan tumpahan darah haidnya dengan 249 orang yang kehilangan nyawa ketika cubaan rampasan itu dan dianggap sebagai syahid di Turki.
“Saya mengalami haid pagi ini untuk menyambut hari syahid 15 Julai. Saya meraikan hari itu dengan berdarah bagi pihak darah syahid kami,” tulisnya.
Penganjur berkata, mereka melihat tweet itu selepas keputusan pertandingan ratu cantik diumumkan dan terpaksa bermesyuarat beberapa jam untuk mengesahkan tulisan terbabit.
Can Sandikcioglu, penganjur Miss Turkey, dalam satu kenyataan berkata, tweet itu ditulis sendiri oleh Esen.
“Penganjur Miss Turkey yang mana objektifnya adalah untuk mempromosi Turki di dunia dan memaparkan imejnya, tidak dapat menerima tulisan sebegitu,” kata Sandikcioglu.
Gelaran Esen diserahkan kepada Asli Sumen, pemenang kedua dan kini akan mewakili Turki dalam pertandingan Miss World di China, 18 November ini. – AFP
No comments:
Write comments