AKTRES cantik, Nur Fathia Abdul Latiff mengakui dia perlu lebih berhati-hati selepas ini bagi mengelakkan dirinya terpalit dengan kontroversi lagi.
Namun, Fathia masih berpegang bahawa manusia biasa sememangnya tidak boleh lari daripada melakukan kesalahan.
Dalam pada itu, Fathia, 30, akui adakalanya dia terlupa dirinya seorang artis yang gerak-gerinya sentiasa diperhatikan.
“Saya lupa sebagai selebriti, sebahagian daripada diri ini menjadi milik masyarakat. Dalam bergembira, saya terlupa batasan hingga terjerat dalam kontroversi. Saya akur dengan kesilapan diri kerana saya bukan insan yang sempurna.
“Untuk apa saya terus membohongi diri dan menipu masyarakat, sedangkan segala-galanya sudah tidak mampu disembunyikan lagi. Lebih baik saya berlaku jujur dan mengakui kesilapan, meskipun perit untuk saya memikul kesannya,” kata Fathia kepada BH Online.
Sejak video menerusi Bigo Live yang menunjukkan dirinya dalam keadaan seksi tersebar meluas minggu lalu, Fathia juga berkata kehidupannya kini ‘dihantui’ insiden tersebut.
Malah, dia cuba untuk menafikan perkara itu semata-mata kerana tidak mahu isu itu dipanjangkan, namun dia tidak mampu berdolak-dalik lagi dan mengambil keputusan untuk akui sahaja pembabitannya dalam video tersebut.
“Saya tidak kisah jika berterusan dipersalahkan dan dikecam, tapi apabila keluarga turut sama menanggung malu, saya rasa bersalah. Berulang kali saya memohon maaf daripada mereka, terutama ibu. Saya tahu ibu begitu kecewa, tetapi semuanya sudah berlaku.
“Mahu atau tidak, saya terpaksa menanggung kesannya. Alhamdulillah, ketika saya dalam kekalutan dan jiwa sedang kacau, keluarga tidak membelakangkan saya. Mereka setia berdiri di belakang, memberikan kata semangat ketika saya tersasar dan melakukan kesilapan besar,” katanya lagi.
Berkenaan isu dirinya digugurkan daripada produksi La Luna pula, Fathia cuma berkata dia redha rezekinya tidak berpihak pada drama berkenaan.
“Saya percaya kepada rezeki, malah tidak akan berhenti berusaha dan bertawakal kerana semua itu sudah tertulis. Jika ditakdirkan perjalanan kerjaya seni saya terhenti di sini, saya reda dan pasrah,” katanya.
Dalam pada itu, Fathia memohon maaf kepada orang ramai atas keterlanjurannya itu.
Katanya, tidak terlintas langsung di fikirannya untuk menjatuhkan maruah orang yang bertudung.
Meskipun perlakuannya dikecam teruk, namun Fathia berpegang pada prinsip bahawa selagi Allah memegang hatinya, dia akan terus bertudung.
“Saya masih belum sempurna, tetapi selagi Tuhan memegang hati, saya tidak akan membuka tudung. Berilah saya ruang untuk memperbaiki kekurangan diri,”katanya.
Fathia juga memohon masyarakat supaya tidak terus memberinya tekanan kerana dia juga berhak memperbetulkan diri.
“Saya hanya mahu berehat dan mencari semula kekuatan diri yang hilang. Saya tidak lagi tertekan, malah sudah boleh mengawal perasaan dan emosi. Saya mahu kembali mendekatkan diri kepada Allah dan mencari keredaan-Nya.
“Saya tahu ini adalah ujian berat, tetapi pasti ada hikmah di sebaliknya. Mungkin Tuhan mahu melihat sejauh mana saya yakin dengan kekuasaan-Nya apabila ditimpa musibah cukup hebat.
Saya cuma mengharapkan doa yang baik daripada semua supaya terus istiqamah dengan perubahan ini,” katanya lagi penuh harapan. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments