Wednesday, 27 September 2017

Video: Remaja ‘Tanggang’ Pukul Ibu Bertubi-Tubi


SANGAT biadap, itulah perkataan yang boleh digambarkan mengenai video tindakan seorang anak lelaki yang tergamak memukul ibu kandungnya sendiri demi mendapat wang.

Pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun itu bertindak secara melampau dengan memukul ibunya beberapa kali gara-gara wanita itu tidak menunaikan permintaan yang meminta wang belanja di sekolah.

Dalam kejadian yang berlaku di Flat Taman Bukit Teratai, Ampang, remaja yang dilihat sedang memakai seluar sekolah itu tanpa belas kasihan memukul tangan kiri ibunya beberapa kali tanpa mempedulikan rayuan mangsa yang meminta agar tidak diperlakukan sedemikian.


“Sakitlah Bang Long… sakit… duit ni ibu nak bawa untuk pergi kerja,” ujar mangsa.

Rakaman berdurasi 43 saat itu juga turut menunjukkan seorang warga emas yang dipercayai nenek remaja terbabit menyaksikan tindakan cucunya itu di hujung ruang tamu.

“Dah! Dah! Esok jangan sekolah. Tak payah sekolah. Ha, tumbuk muka nenek, tumbuk muka nenek yang tak nampak ni,” kata neneknya.

Enggan terus dipukul, mangsa terpaksa menyerahkan sebahagian duitnya, namun remaja itu meminta ibunya menyerahkan semua duit yang ada di dalam beg tangan itu.

Bukan sahaja tergamak ‘naik tangan’ pada ibu sendiri, malah remaja itu sanggup mencaci maki wanita itu, malah mengugut mahu mengancam mangsa jika tidak memberi kesemua wang yang dipinta.

Di media sosial, netizen mengecam tindakan biadab lagi kurang ajar remaja terbabit yang tidak menghormati ibu kandungnya sendiri dan selayaknya dilabel sebagai anak derhaka.

Tidak kurang juga ada yang mendesak pihak berkuasa menyiasat dengan segara kejadian itu agar diambil tindakan terhadap remaja terbabit.

“Inilah hasilnya terlalu memanjakan anak. Hasil terlalu melayan anak seperti raja yang akhirnya menyebabkan ibu bapa menjadi hamba kepada anaknya sendiri,”kata Nursyakila.

“Kurang ajar punya anak, sanggup kau belasah manusia yang besarkan kau dengan kasih sayang, tak cium bau syurga lah lahanat,” tulis Ghazi Adli.

Sehingga kini, rakaman video yang dimuat naik sejak jam 7.40 malam tadi itu telah ditonton 644,000 kali dan dikongsi 22,116 netizen di laman Facebook. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments