Friday, 29 September 2017

Rezeki Banjir: Ikan Puyu, Sepat & Haruan ‘Mendarat’


KANGAR – Banjir yang melanda Perlis sejak 21 September lepas selain menyebabkan banyak kelengkapan rumah rosak turut membawa rezeki apabila banyak ikan air tawar terperangkap dalam sawah, parit serta longkang dan di atas jalan raya yang dinaiki air.

Pelbagai kaedah digunakan untuk menangkap ikan puyu, sepat dan haruan. Ada yang memilih menggunakan pancing, menjala dan memukat.

Tinjauan Bernama mendapati di kawasan-kawasan banjir, suasana seperti pesta apabila orang ramai yang turut dibantu oleh keluarga masing-masing menggunakan pelbagai kaedah dan kemahiran masing-masing untuk menangkap ikan air tawar itu.

Suasana lebih meriah selepas waktu bekerja.

Seorang pemancing, Ibrahim Salleh, 43, dari Abi berkata beliau membawa isteri dan anak-anaknya untuk memancing dalam sawah dan parit di tepi jalan raya di Kampung Panggau dan memperoleh banyak ikan puyu, sepat dan juga haruan.

Kassim Bakar, 38, dari Mata Ayer pula berkata sepanjang tiga hari lepas beliau menggunakan jala dan banyak memperoleh ikan puyu, haruan dan sepat yang agak besar berbanding memancing.

“Ikan-ikan ini mungkin terlepas keluar dari kolam-kolam ternakan apabila banjir melanda,” katanya semasa ditemui semasa menjala dalam parit di Kubang Gajah berhampiran rumahnya di sini, petang semalam.

Abdul Kadir Jaya, 41, dari Beseri berkata beliau tidak melepaskan peluang untuk memancing yang menjadi hobinya dan memperoleh banyak ikan puyu.

“Saya biasa memancing di laut, namun banjir ini telah membawa rezeki untuk kami apabila banyak ikan terperangkap dan peluang tidak harus dilepaskan. Ikan puyu ini sedap dibuat asam pedas selain digoreng,” tambahnya. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments