Thursday, 21 September 2017

Fasih Cakap Mandarin, Akak JPJ Ini Ke Putrajaya


BEBERAPA hari lepas, tular rakaman video memaparkan seorang Pembantu Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis yang fasih berceloteh dalam Bahasa Mandarin.

Khabarnya, penguat kuasa JPJ yang bernama Nur Syafiqah Azaman, itu sedang membantu dua pelajar dari Shandong, China yang menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menerusi video tersebut, kelihatan Syafiqah sedang memberi penerangan kepada dua penuntut asing tersebut tentang prosedur pertukaran hak milik kenderaan yang dipohon mereka.

Disebabkan videonya yang tular itu, Syafiqah turut dipanggil untuk bertemu dengan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shahruddin Khalid di ibu pejabat jabatan tersebut di Putrajaya.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam JPJ Perlis, Mohd Tarmizi Ghazali, undangan itu merupakan perkhabaran baik khususnya buat JPJ Perlis.

“Apabila dapat selesai tugas dan bantu pelanggan, ia adalah kejayaan buat kami. Selepas video itu tular, ia secara tidak langsung beri imej lebih baik buat JPJ,”katanya dipetik Sinar Harian Online.


Tetapi, mesti ramai yang tertanya-tanya macam mana gadis Melayu Islam berusia 23 tahun ini fasih berbahasa Mandarinkan?

Rupa-rupanya ibu kepada wanita ini memang berketurunan Tionghua, jadi tidak hairanlah Nur Syafiqah dan adiknya mampu bertutur dalam bahasa Cina tersebut.

“Sejak kecil lagi ibu saya bercakap Mandarin dengan saya dan adik. Katanya ia penting untuk kami berkomunikasi dengan saudara-mara kami sebelah ibu yang berbangsa Cina.

“Lagipun, semasa kecil dulu memang tak nampak apa-apa, tetapi apabila ada keperluan, ia akan sangat membantu kita.

“Masa mula-mula tu memanglah kekok, tapi lepas ibu hantar ke tadika dan sekolah rendah, ia jadi bahasa kedua kami di rumah,” tambah Nur Syafiqah.

Walau bagaimanapun, anak sulung daripada dua beradik ini tidak menyangka video yang dirakam rakan sekerjanya itu boleh tular dan mendapat perhatian netizen. Katanya ia berlaku secara tidak sengaja.

“Dua pelajar berkenaan ada ke kaunter khas untuk urusan mereka. Tetapi mereka tidak faham apabila pegawai di sini memberi penerangan dalam bahasa Inggeris.

“Pegawai itu pun memanggil saya untuk membantu. Apabila saya mula bercakap dengan mereka, dapat saya lihat, riak wajah mereka seakan lega,” kata Nur Syafiqah.


Jelasnya lagi, ini bukanlah kali pertama dia bertutur dalam bahasa itu dengan pelangganya. Malah sudah banyak kali kerana tugasannya di kaunter khas JPJ menuntut dirinya berbahasa Mandarin apabila diperlukan.

Dalam pada itu, Tarmizi tidak menidakkan kemungkinan untuk mengadakan kursus jangka pendek untuk kakitangan JPJ yang perlu berhadapan terus dengan pelanggan di bahagian kaunter.

Namun, semuanya tidak diputuskan lagi dan masih di peringkat awal. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments