Wednesday, 27 September 2017

Individu Tular Video Remaja Pukul Ibu Mohon Maaf


AMPANG – Individu yang menularkan rakaman insiden seorang remaja memukul ibunya dalam kejadian di sebuah rumah, di sini, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di laman sosial.

Pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama “Jejaka Sereng” dalam kenyataannya berkata, dia memohon maaf kepada pihak keluarga remaja berkenaan kerana memuat naik video itu kira-kira jam 6 petang, pada Selasa.

“Assalamualaikum kehadapan keluarga Syukri, saya ingin memohon maaf di atas kesilapan dan kesalahan saya kerana telah menviralkan (menularkan) video yang tidak sepatutnya saya postkan (muat naik) dilaman sosial facebook ini.


“Saya akui di atas kesalahan yang telah saya lakukan kerana menviralkan video tersebut.

“Saya tidak berniat untuk memburukkan sesiapa. Saya berharap permohonan maaf ini diterima oleh pihak keluarga Syukri,” demikian katanya dalam catatan kira-kira 15 jam lalu.

Pada kenyataan yang dimuat naik, lelaki itu turut memberi komen bahawa dia memperoleh video berkenaan daripada rantaian pesanan yang bermula daripada adik remaja berkenaan.

“Video daripada seorang adik hantar kepada orang, sampai kepada saya, saya viralkan. Tapi saya ingin memohon maaf kerana menviralkan (menularkan).

“Rasa bersalah terhadap keluarganya kerana menviralkan. Maafkan atas apa yang berlaku,” katanya dalam ruang komen postingnya itu.

Terdahulu, pengguna Facebook berkenaan memuat naik video kejadian dengan menyatakan kes itu berkaitan seorang remaja bernama Syukri memukul ibunya dalam kejadian jam 6 pagi.

Dia juga menyatakan kejadian berlaku di sebuah rumah di Flat Taman Bukit Teratai, Ampang, serta meminta netizen untuk kongsikan video itu kerana terdapat pihak yang sedang mencari remaja berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, bapa remaja berkenaan telah membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga termasuk anak lelakinya selepas video terbabit menerima kecaman orang ramai. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments