MADRID – Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane dijadual bertembung buat kali pertama dengan anaknya, Enzo Fernandez apabila kelab kendaliannya bertemu Alaves, malam ini.
Pemain tengah Enzo, 22, meninggalkan pasukan simpanan Real ketika musim berehat baru-baru ini bagi memburu posisi utama di Alaves, kelab di mana dia sudah membuat dua kemunculan dalam saingan La Liga setakat ini.
Namun dengan barisan kendaliannya kini hanya mengumpul tujuh mata di belakang pendahulu Barcelona dan terdesak untuk memburu mata, Zinedine pula harus menempuh perlawanan yang membabitkan hubungan keluarga.
“Saya harap dia (Enzo) tidak meledak jaringan, kami perlu melihatnya daripada sudut keinginan pasukan,” kata pemenang Piala Dunia 1998 itu. “Saya tidak tahu sama ada ia akan menjadi sesuatu yang ganjil apabila harus menentangnya tetapi saya gembira kerana dia melakukan tugas dengan baik.
“Saya tidak terlalu memikirkannya. Saya mempunyai perasaan tersendiri tetapi perlawanan ini adalah antara Alaves dan Real Madrid, itu yang paling penting buat saya.”
Anak Zidane yang berusia 19 tahun, Luca juga mengikuti kunjungan Real selaku penjaga gol pilihan ketiga dan seperti Enzo, dia pernah beraksi bersama pasukan Bawah 19 Perancis manakala adik mereka Theo (15) dan Elyaz (11) juga beraksi bersama pasukan muda Real.
Bekas pemenang Ballon d’Or, Zidane berkata, dia langsung tidak menyentuh karier Enzo sejak dia meninggalkan Santiago Bernabeu, selepas memberi ruang buat anaknya itu membuat kemunculan pertama bersama Real ketika perlawanan Copa del Rey tahun lalu yang menyaksikan darah dagingnya itu meledak gol.
“Enzo sangat kompetitif, seperti saya juga. Saya melihat peningkatannya sebagai seorang pemain tetapi saya bercakap dengannya sebagai seorang ayah,” katanya. “Saya bukan jurulatihnya, saya ayahnya dan saya tidak perlu memberikan apa-apa mengenai bola sepak. Apabila kami bercakap, ia tidak lebih daripada hubungan antara anak dan ayah.” – AFP
No comments:
Write comments