BEIJING – Bulu mata yang panjang dan lentik boleh disifatkan sebagai perhiasan cukup menarik apabila kaum Hawa bercakap tentang kecantikan diri.
Rata-rata bulu mata manusia normal panjangnya antara 0.8 dengan 1.2 sentimeter, dan lazimnya perlu disikat dengan maskara untuk menampakkan kesan bulu mata yang lebih panjang.
Namun, wanita bernama You Jianxia ini nampaknya tidak memerlukan maskara memandangkan bulu mata beliau sememangnya panjang. Malah jauh lebih panjang daripada biasa – iaitu 12.4 sentimeter!
Maka tidak hairanlah apabila namanya dimasukkan ke dalam Rekod Dunia Guinness. Memetik laporan laman berita tempatan Oddity Central, warga China ini berasal dari Shanghai dekat sini.
Wanita berusia 49 tahun itu malahan bersyukur apabila dinobatkan sebagai pemilik bulu mata paling panjang di dunia, sehingga mencecah ke bawah paras mulut.
You memberitahu Oddity Central, bulu matanya bukan panjang sejak lahir. Ia mula tumbuh cepat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan yakin ia disebabkan dirinya sentiasa dekat dengan alam sekitar.
Beliau yang pernah menyandang jawatan sebagai pengarah di sebuah syarikat kewangan tempatan memilih untuk berhenti kerja dan mengabdikan diri kepada alam sekitar dengan berkebun.
Mengulas mengenai pengiktirafan yang diterima dariada pihak Guinness itu, You berkata baawa beliau bangga dengan bulu mata yang dimiliki dan berniat untuk terus menjaganya dengan baik.
“Bulu mata panjang adalah satu keindahan, ia melambangkan kesihatan dan umur panjang. Ia adalah sebahagian daripada tubuh saya dan saya selalu menjaganya.
“Bahkan saya membasuh wajah saya dengan lembut agar tidak merosaknya secara tidak sengaja,” kata You kepada media setempat. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments