SINGAPURA – Tular majlis perkahwinan Mohammed Ariffin Md. Mazlan dengan Siti Ruzainah Kamis pada 24 September lalu apabila dianggap luar biasa dihadiri empat orang ‘adi wira’.
Lebih tepat lagi, empat ‘Power Ranger’ itu termasuk seorang bertaraf ‘Black Panther’ dijadikan hulubalang dan pengapit pasangan raja sehari itu. Bukan itu sahaja, ‘superhero’ berkenaan turut mengamalkan budaya Melayu.
Ini dengan membuka jurus silat pengantin diiringi gema paluan kompang. Apa yang pasti, majlis persandingan Mohammed Ariffin, 33 tahun dan isterinya yang berusia 32 tahun itu cukup meriah dan cuit hati tetamu.
Manakan tidak, Mohammed Ariffin memberitahu agensi berita Mediacorp, keputusan beliau untuk menampilkan ‘Power Rangers’ dan ‘Black Panther’ itu hanya diketahui keluarga terdekatnya serta adik-beradik Siti Ruzainah.
Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah melihat beberapa perkahwinan Melayu yang turut menampilkan watak-watak terkenal daripada filem popular Barat selain didorong minatnya yang mendalam terhadap bidang cosplay.
“Ini bukan baharu. Bagi majlis persandingan masyarakat Melayu, sudah ada melakukan sedemikian. Jadi apabila saya lihat ada menampilkan watak ‘Storm Troopers’ dan ‘Ironman’, ia sedikit sebanyak memberikan saya idea.
“Mengapa tidak saya ajak rakan-rakan memakai kostum pada majlis persandingan. Walaupun ia majlis ringkas dan penuh tradisi, sekurangnya-kurangnya ada sesuatulah satu elemen unik,” pegawai keselamatan berusia 33 tahun itu.
Rakaman video majlis persandingan itu yang dikongsikan oleh seorang rakan Mohammed Ariffin kepada Mediacorp menunjukkan tiga ‘Power Rangers’ dan ‘Black Panther’ sedang berjalan mengiringi pasangan pengantin tersebut.
Tambah menggelikan hati apabila adi wira itu membuka langkah bersilat di depan pengantin. Memang sungguh mengelirukan apabila melihat orang berpakaian kostum pelik sedemikian melakukan gerak-gerak bunga silat.
Kebetulan Mohammed Ariffin mendedahkan kepada Mediacorp, bahawa minat beliau kepada cosplay begitu mendalam sehingga sudah menjadikan bidang tersebut sebagai satu hobi sejak sekitar sembilan tahun lalu.
Menerusi minat itu jugalah, beliau amat mengenali dan menjalin persahabatan dengan empat rakannya itu, yang sanggup bertukar wajah sepanjang sehari suntuk demi menjayakan majlis persandingan berkenaan.
Salah seorang daripadanya iaitu Muhammad Muhaymin Azman, yang memakai kostum ‘Power Rangers’ berwarna merah berkata beliau dan rakan-rakannya tidak begitu terkejut apabila diminta untuk memakai kostum itu.
Ini termasuk pada hari persandingan Mohammed Ariffin. Malah, beliau dan rakan-rakan lain juga berasa ghairah untuk melakukannya sambil menambah bahawa para ‘superhero’ itu turut bersama menaiki bas pengantin.
“Kami ikut pengantin lelaki bertandang dari rumahnya ke rumah pengantin perempuan dan kemudian balik semula ke tempat pengantin lelaki. Jadi sepanjang hari kami ikut saja macam pengawal,” cerita Muhammad Muhaymin.
Lebih lucu menurut beliau, ramai yang meminta untuk bergambar! “Ramai sis.Ramai! Malah ada satu sudut bergambar atau ‘photo booth’ yang disediakan di majlis pengantin perempuan untuk tujuan itu.
“Kami sendiri tidak tahu-menahu. Kami langsung tidak menjangkakannya,” kata Muhammad Muhaymin. Dia dan tiga rakannya memakai kostum masing-masing dari sekitar pukul 10.30 pagi sehingga pukul 4.30 petang.
Ini bermakna mereka memakai kostum itu selama lebih kurang enam jam! Bayangkan, mereka perlu berbuat demikian dalam keadaan cuaca di Singapura pada ketika ini memang panas terik tanpa hujan.
“Panas ada juga, tapi kami ada masa untuk berehat seketika dan ini pun untuk rakan kami, jadi mengapa tidak. Lagipun, kami memang gemarkan kegiatan ini,”kata Muhammad Muhaymin.
Dia menambah dirinya memang sudah lama meminati cosplay dan mula memakai kostum sedemikian sejak dua tahun lalu. Rakan-rakannya ada yang sudah mula memakai kostum sekitar tujuh hingga lapan tahun.
Muhammad Muhaymin juga mendedahkan bahawa mereka merupakan anggota sebuah kumpulan cosplay yang lebih besar, dan dikenali dengan nama Tokucos Singapore menerusi laman sosial rasmi di Facebook.
Menurutnya, reaksi diterima daripada para tetamu pada majlis itu pelbagai. Jika golongan muda sememangnya mengenali watak-watak seperti ‘Power Rangers’ dan ‘Black Panther’, berbeza pula dengan golongan mak cik.
“Yang mak cik-mak cik ada bertanya ‘eh ini superhero yang mana ye? Ultraman ke?’ Mereka meneka bermacam-macam nama watak ‘superhero’ tetapi mereka tetap mahu bergambar dengan kami. Jadi kami layankan mereka.
“Saya tidak sangka mak cik-mak cik itu begitu ‘sporting’. Kami bat mereka gembira dan mereka juga buat kami gembira,” ujarnya. Ini juga bukan kali pertama mereka memakai kostum bagi memeriahkan majlis persandingan.
Sebenarnya kumpulan itu sudah kerap menjalankan kegiatan sedemikian dalam acara lain seperti di hospital dan majlis sambutan hari lahir jika ada permintaan dan demi satu tujuan murni, iaitu menggembirakan orang lain.
Apabila ditanya sama ada beliau mahu menampilkan ‘hero’ filem pada majlis persandingan sendiri pada masa akan datang, Muhammad Muhaymin berseloroh “Saya akan menimbangkannya.” – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments