Saturday, 30 September 2017

Hasil Seks Diterima Tuhan – Pengasas Pondok Pondan


JAKARTA – Islam menerima golongan transgender atau pondan kerana konon ia merupakan agama rahmat untuk seluruh alam, dakwa Shinta Ratri, pengasas Pondok Pesantren Waria Al-Fatah.

Untuk rekod, institusi kontroversi di Yogyakarta itu merupakan satu-satunya madrasah pengajian Islam khusus buat golongan mak nyah atau dalam bahasa Indonesia dikenali sebagai waria (gabungan perkataan wanita dan pria).

Menurut media tempatan, mak nyah yang berusia 55 tahun itu juga mendakwa konon rezeki hasil pelacuran seks sumbang sesama jenis adalah diterima di mata Tuhan, asalkan pekerjaan tersebut disertakan dengan sikap jujur.

Meskipun penubuhan madrasah golongan waria itu sejak 2008 pernah mendatangkan kemarahan umat Islam Indonesia sehingga terpaksa ditutup pada tahun lalu, namun ia nyata tidak melemahkan semangat Shinta Ratri.

Demi perjuangannya untuk memartabatkan kedudukan golongan mak nyah dalam agama, Shinta Ratri berkata: “Kami mahu buktikan Islam menerima golongan transgender dan Islam merupakan rahmat untuk seluruh alam.”

Menurut pondan yang pernah menjalani hidup sebagai isteri kepada lelaki sebanyak dua kali ini, isu agama tidak sewajarnya dijadikan alasan bagi masyarakat mengharamkan kewujudan golongan mak nyah dalam arus perdana.

Ini kerana menurutnya Islam itu sendiri adalah rahmat bagi seluruh alam, termasuklah konon bagi golongan dua alam tersebut meskipun kelompok berkenaan dilaknat Allah terutama kaum Sodom ketika zaman Nabi Luth AS.

“Kami memahami Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin – Islam yang menjadi rahmat seluruh alam. Ketika agama dipergunakan bagi menyakiti dan menyeksa orang, itu sudah di luar koridor rahmat seluruh alam,” ujar beliau.

Alasan dangkal itu dinyatakan memandangkan ramai penuntut Pondok Pesantren Waria masih aktif mencari nafkah dengan melacur menyebabkan Shinta Ratri kerap disoal perihal hukum pendapatan diterima menurut Islam.

“Mak nyah bertanyakan saya adakah melakukan pekerjaan seks adalah haram,” katanya sambil menambah jika transaksi pekerjaan seks itu adalah jujur, dan tidak digunakan hasil pelacuran itu untuk membahayakan orang lain.

Sebaliknya rezeki tersebut dimanfaatkan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik, amalan mereka konon adalah diterima di mata Tuhan. Penjelasan ini dikatakan amat menenangkan kegelisahan para penuntut madrasah tersebut.

Media setempat melaporkan hujah dan Shinta Ratri itu berjaya mengukuhkan lagi tahap ‘iman’ mereka. “Ini merupakan persoalan yang amat menekan mereka; kelompok ini tiada jalan lain bagi mendapatkan wang.”

Menurutnya madrasah itu didakwa konon berjaya menarik sokongan pemimpin agama setempat, malaha profesor dari universiti Islam datang beri penghargaan kepadanya atas perit jerih usaha membimbing komuniti mak nyah.

Bahkan Shinta Ratri menambah, Nahdlatul Ulama, organisasi agama yang paling berpengaruh di Indonesia dengan ahli seramai 50 juta orang itu juga “amat menyokong” usaha murni beliau selama ini membela nasib pondan.

Selain daripada menjadi tempat ibadah bagi golongan mak nyah Muslim, adalah menjadi matlamat bagi madrasah tersebut untuk menggunakan ajaran Islam demi memperjuangkan hak asasi golongan mak nyah.

“Kami perlu mendidik masyarakat mengenai kaum mak nyah, dan kami harus memberi tekanan kepada kerajaan agar mereka memperakui bahawa kami juga mempunyai hak yang sama,” kata beliau. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments