Friday, 22 September 2017

Remaja Jujur Akui Salah, Diberi Ganjaran Biasiswa


JIKA anda terlanggar sebuah kenderaan, apakah yang anda akan lakukan? Adakah anda akan tunggu sehingga tuan empunya kereta datang atau terus sahaja melarikan diri?

Kebiasaannya individu yang telah melanggar kenderaan lain pasti akan cuba menyelamatkan diri untuk mengelak daripada membayar ganti rugi. Namun, lain yang telah dilakukan oleh seorang gadis di China.

Gadis ini sangat jujur malahan dia sanggup menunggu selama sejam sehingga pemilik kereta tersebut muncul di depan matanya dalam insiden yang dilaporkan berlaku pada 2 September lalu.

Zhang, 18, merupakan pelajar baharu di sebuah kolej dekat Yunan, China. Pada hari kejadian, dia baru sahaja selesai mendaftarkan diri di kolej dan sedang dalam perjalanan ke bank bagi mendepositkan wang poket miliknya.

Namun, malang tidak berbau apabila dia telah terlanggar kenderaan mewah jenis Lexus ES350 dengan basikal miliknya kerana terlampau leka memandang ke arah papan tanda.

Walaupun panik, gadis ini langsung tidak berniat untuk melarikan diri, malah sanggup menunggu selama satu jam di bawah panas terik itu.

Selepas sejam menunggu, seorang lelaki telah menghampiri Lexus itu dan meskipun dia berasa takut, Zhang tetap berhadapan dengan lelaki tersebut.

“Pakcik pemilik kereta ni ke? Saya minta maaf sangat. Saya tak sengaja tercalarkan kereta pakcik dengan basikal saya dan saya memang tunggu pakcik di sini,” katanya kepada lelaki tersebut.

Zang, merupakan pemilik kereta tersebut terkejut dengan keberanian gadis itu dan ternyata memang terdapat tiga garis calar pada pintu keretanya.


“Saya pelik melihat seorang gadis sedang berdiri di tepi kereta saya. Dia nampak panik dan takut bila pertama kali melihatnya.

“Tapi bila saya tahu dia telah menunggu selama sejam di bawah panas terik ini, saya tersentuh. Saya beritahunya, tiada ganti rugi yang perlu dibayar,” kata Zang dipetik daripada portal World of Buzz.

Zhang bukanlah anak orang berada, malah hidupnya boleh dikatakan miskin. Yuran kolejnya berharga 8,000 yuan (kira-kira RM5,000) dan wang itu diperoleh daripada pinjaman.

Kejujuran Zhang telah terbalas apabila pengarah firma hartanah tempat kerja Zang mengetahui mengenai kejadian tersebut.

“Kereta yang tercalar itu merupakan jenis Lexus dan ia bernilai lebih kurang 700,000 yuan (RM446,330). Namun setelah diperiksa, kos untuk membaikinya berharga 2,000 yuan (RM1,280).

“Walau bagaimanapun, keluarga gadis ini tidak berkemampuan dan ia menjadi sesuatu bebanan jika gadis berkenanan dipaksa membayarnya.

“Jadi, bukan saja kita tak patut menyuruhnya membayar wang ganti rugi, kita sepatutnya bantu gadis ini menamatkan pengajian kolejnya,” kata pengarah tersebut.

Itulah balasannya jika berbuat baik dan bersikap jujur. Zhang bukan sahaja ditawarkan biasiswa percuma, malah dia turut ditawarkan untuk bekerja di syarikat tersebut selepas selesai pengajian di kolej.

Sebab itu pepatah ada berkata ‘berbuat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali’. Apabila kita buat baik dan berlaku jujur, Tuhan pasti akan membalas dengan perkara yang baik.

Jadi, lepas ni kalau anda terlanggar kenderaan lain, jujur sahaja kepada pemilik kenderaan tersebut okay? Mana tahu dapat kereta free ke? – MYNEWSHUB.CC/Ainaa Hafizah

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments