Thursday, 21 September 2017

Bantal Peluk Pocong Pastikan Tidur Ditemani


KUALA TERENGGANU – Kalau pada kelazimannya disebut sahaja perkataan pocong, bulu roma segelintir kita boleh tegak berdiri. Namun, mungkin anda tidak berasa begitu bagi pocong unik ini!

Malah, bantal peluk bentuk pocong sebegini mungkin mahu didakap erat-erat untuk tidur malam yang nyenyak. Namun ternyata gambar-gambar bantal seram itu menjadi tular menerusi media sosial tempatan baru-baru ini.

Bukan setakat rupa bentuknya seiras menyerupai imej hantu bungkus tersebut, bahkan bantal peluk itu siap lagi kelihatan ‘kotor’ dan ‘berdarah’, dengan bahagian wajah ngerinya yang berwarna hitam legam tanpa wajah!

Gambar-gambar si wanita yang sedang memeluk bantal pocong itu dimuat naik ke akaun Facebook milik Aidil Riena Full, yang merupakan seorang usahawan atas talian dan menetap di Kemaman dekat sini pada 17 September lalu.


Menerusi catatan ringkas yang disertakan dengan foto tersebut, bantal pocong itu dijual dalam dua saiz berbeza – dua meter boleh dibeli pada harga RM220 manakala jenis dua setengah meter pula pada harga RM280.

Posting unik oleh peniaga wanita online berasal dari Woodlands, Singapura itu menjadi tular dalam kalangan netizen apabila menerima lebih 12,000 perkongsian selain kira-kira 5,000 komen dan hampir 3,000 tanda suka.

Aidil Riena Full melalui keterangan dalam akaun media sosial tersebut menjelaskan bahawa kain bahagian luar bantal yang diimport dari Thailand itu diperbuat daripada kapas namun isi di dalamnya pula adalah kekabu.

Tambah menyeramkan, catatan menerusi laman Facebook itu diakhiri dengan ayat sinis berbunyi: “Kini tidur anda tidak lagi berseorangan.” Jadi, bagaimana? Anda berani ‘memeluk’ pocong jenis ini? – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments