MENJADI impian semua pasangan yang baru berkahwin untuk tinggal di rumah yang selesa dilengkapi perabot yang secukupnya untuk memulakan fasa kehidupan yang baru.
Namun, tidak bagi pasangan muda ini yang lebih selesa memilih untuk tinggal di dalam hutan dalam menjalani kehidupan berkeluarga.
Ahmad Ridzuan Yaacob, 26, dan isterinya Nor Hidayah Sahazan, 23, menyatakan mereka bertahan tinggal di dalam hutan berhampiran Kuala Tualak dekat Kuala Nerang, Kedah ini bertunjangkan keserasian, kebahagian dan penerapan kasih sayang yang terjalin antara mereka berdua.
Mereka juga mengambil keputusan untuk tinggal di hutan secara sukarela dan bukanlah atas faktor kemiskinan atau juga kerana mereka dihalau oleh keluarga.
Sebaliknya, mereka memilih untuk tinggal di hutan untuk memudahkan Ridzuan mencari rezeki di kawasan tersebut.
Sebenarnya, kawasan hutan yang mereka diami ini merupakan kawasan tanah yang pernah dijaga oleh nenek Ridzuan.
Tindakannya ini umpama dia menyambung tugasan neneknya untuk menjaga kawasan tersebut. Lagipun tempat ini dipilih kerana berdekatan dengan punca air.
Menurutnya lagi, dangau tiga tingkat itu asalnya hanyalah sebuah dangau kecil yang dibina menggunakan batang kayu dan buluh. Mungkin disebabkan ahli keluarganya yang semakin bertambah membuatkan mereka membesarkan lagi dangau tersebut.
Isterinya, Nor Hidayah menyatakan kesanggupannya mengikut suaminya ke hutan tersebut atas dasar kasih dan sayangnya kepada suami tercinta.
“Saya sanggup meninggalkan ibu bapa dan menetap di dalam hutan kerana saya lebih menyayangi suami dan keluarga saya dan hutan ini merupakan punca rezeki bagi kami,” katanya dipetik laporan Astro Awani.
Kini, wanita yang berasal dari Pulau Pinang ini sedang mengandungkan anak mereka yang keempat dengan usia kandungannya sudahpun mencecah enam bulan.
Manakala tiga lagi anak mereka iaitu Putera Danny Quefiq, Puteri Dannysha Queyllyaa dan Iman Muhammad Naufal Fath masing-masing berumur enam, empat dan juga satu tahun enam bulan.
Namun, pasangan ini tetap berkeras untuk tinggal di dalam hutan meskipun Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Badrul Hisham Hashim ada menawarkan mereka sebuah rumah dalam Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Tetapi, mereka menolaknya dan menyatakan jika ada mana-mana pihak yang benar-benar mahu membantunya sekeluarga, pihak tersebut harus membina rumah di tempat tinggalnya sekarang dan bukannya berpindah ke tempat lain.
“Bagi saya inilah pengorbanan cinta yang suci ditunjukkan oleh pasangan ini dan saya yakin ramai tak mampu untuk berkorban seperti ini.
“Saya ingin membantu mereka untuk menempatkan mereka di rumah PPRT di Kuala Nerang namun Ridzuan tidak mahu dan berkata dia rela menetap di dalam hutan,” ujar Badrul Hisham.
Menarik bukan kisah mereka? Tidak banyak pasangan muda yang sanggup berkorban begini lebih-lebih lagi apabila berjauhan daripada keluarga. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim
No comments:
Write comments