NAMA Faizal Tahir tidak asing lagi dalam dunia hiburan tanah air kerana bakat dan kualiti persembahan yang ditampilkan.
Namun, apa pula jadinya jika ada lelaki yang iras-iras penyanyi pop rock itu tampil di khalayak sehingga disalah ertikan banyak pihak.
Joe Aziz atau nama sebenarnya Aziz Ismail sering kali menghadapi masalah apabia menjadi tumpuan dan dikerumuni orang ramai hanya kerana mereka beranggapan Joe adalah Faizal Tahir.
Pernah suatu ketika, dia dikawal oleh anggota Rela akibat orang ramai berhimpit untuk bergambar dalam satu majlis yang dihadirinya, lapor sebuah akhbar.
Tambahnya lagi, disebabkan wajahnya yang mirip Faizal Tahir itu, dia pernah dipelawa makan tengah hari di rumah seorang mak cik di Jengka, Pahang beberapa tahun lalu walaupun dia sudah menyatakan perkara sebenar.
Namun, bekas peserta Raja Lawak musim kedua dan Lawak King 2008 ini menganggap perkara yang dialaminya turut memberi tempias kepadanya untuk mencari rezeki dalam bidang seni.
“Saya anggap wajah seiras Faizal sebagai satu kelebihan untuk mencari rezeki dalam industri hiburan. Dalam pada yang sama, saya juga boleh membina nama dalam bidang seni,” katanya.
Pengacara program Kais Pagi Makan Petang yang bakal bersiaran di Astro, Oktober depan juga mengakui dia perlu berhati-hati dan menjaga tingkah lakunya kerana takut akan memburukkan nama Faizal Tahir.
Dia bukan sahaja memilik wajah seiras Faizal, malah berbakat meniru suara dan gaya seperti Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Hishammudin Hussein, Datuk Dr. Fadzillah Kamsah, Zizan Razak dan ramai lagi. – MYNEWSHUB.CC / Aisyah Karim
No comments:
Write comments