Wednesday, 30 August 2017

‘Hujan Eksklusif’ Hanya Kena Sebuah Rumah Di Jakarta


PELIK tapi benar. Rasanya itu perkataan yang sesuai digambarkan apabila hanya sebuah rumah sahaja yang ditimpa hujan lebat pada Sabtu minggu lalu.

Lebih memeranjatkan lagi apabila rumah jiran di kiri dan kananya langsung tidak terkena walau setitis air hujan pun. Kejadian aneh ini berlaku di Tebet, Jakarta Selatan, Indonesia.

Ketua Pusat Informasi Meteorologi Publik Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika Indonesia, Mulyono Prabowo menyifatkan situasi ini sebagai fenomena yang jarang berlaku.

Yang peliknya, hujan yang turun lebih kurang enam jam itu hanya menimpa sebuah rumah yang berukuran 5 x 5 meter itu sahaja.

Menurut Mulyono, dengan keadaan awan yang berada pada ketinggian sekitar 700 hingga 1,000 meter itu sepatutnya fenomena hujan seperti itu sukar terjadi.

Beberapa hari lepas satu video mengenai kejadian ini telah tular di negara jiran itu dan menurut perakam video itu, semasa kejadian tu berlaku cuaca di sana berada dalam keadaan kering dan panas.

Penduduk sekitar yang berada di situ turut menyaksikan kejadian pelik itu dan ada antara mereka menadah air hujan tersebut. Khabarnya ada juga mengambil kesempatan untuk mandi menggunakan air hujan eksklusif itu.


Menurut sebuah portal online, pemilik rumah yang hanya dikenali sebagai Muzakir itu terkejut apabila ada kanak-kanak yang datang ke rumahnya untuk bermain hujan sambil menjerit-jerit.

Mereka memberitahu hanya rumahnya sahaja terkena hujan. Dia yang ketika itu sedang bermain catur bersama jirannya menyangkakan hujan turun di seluruh kawasan perumahan itu.

Namun, sangkaannya itu salah apabila dia mendapati hanya rumahnya sahaja yang basah terkena hujan sehingga ke lewat malam.

Kejadian itu berlaku sekitar jam enam petang dan berlanjutan ke tengah malam. Namun, Muzakir tidak mahu membuat apa-apa andaian tentang fenomena tersebut. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments