PENGASAS kosmetik dan isteri kepada penyanyi Hafiz Hamidun iaitu Joy Revfa memohon kepada orang ramai agar hentikan menghinanya kerana salah anggap dia masih isteri orang semasa berkahwin dengan Hafiz.
Kata Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd. Amin, dia amat yakin perkahwinannya pada 1 Mei lalu sah di sisi syarak.
Dia juga menegaskan bahawa dia telah diabaikan dan dinafikan haknya sebagai isteri sejak 23 Mei lalu.
“Selama ini saya diam, saya tidak salahkan keluarga kerana wajar keluarga saya bersuara dan turut campur tangan kerana mereka melihat penderitaan dan tangisan saya selama ini.
“Tolong hentikan hinaan dan cacian anda terhadap saya bahawa saya masih isteri orang ketika berkahwin dengan dia (Hafiz).
“Kepada yang menghina dengan menuduh saya pelacur dan anak saya adalah anak haram, saya maafkan,” ujarnya.
Meluahkan perasaannya melalui Instagram, Joy memberikan responnya terhadap kenyataan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang membenarkan pernikahan itu selepas bekas suaminya mengemukakan surat akuan perceraian mereka yang berlaku pada tahun 2015.
Dalam satu laporam, Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim berkata, isu itu hanya timbul apabila Datuk Ray Imran gagal mengemukakan sijil perceraian dari pejabat agama Islam di Songkhla, Thailand tempat di mana mereka bernikah.
Untuk mendapatkan sijil itu, Joy kemudiannya telah ke Songkhla namun gagal kerana permphonan itu haruslah dibuat oleh bekas suaminya.
Oleh itu, Joy dinasihatkan oleh seseorang untuk membuat permohonan taklik yang berkuat kuasa pada tarikh ia dikemukakan iaitu 13 Julai lalu.
“Di mahkamah nanti akan saya maklumkan siapa yang salah menasihati saya untuk membuat permohonan taklik dan akhirnya digunakan mengatakan saya diragui. Doakan saya dapat menegakkan keadilan dan maruah seorang wanita,” katanya.
Joy telah memfailkan permohonan faraq iaitu pembubaran perkahwinan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di Subang Bestari, Shah Alam pada 18 Ogos lalu.
Permohonan tersebut dibuat selepas Hafiz mula meragui perkahwinan mereka dengan mendakwa ia sebagai tidak sah dan enggan menjalankan tanggungjawab sebagai suami.
Pasangan ini diijabkabulkan di Masjid Negeri, Shah Alam pada 1 Mei 2017 dnegan sekali lafaz.
Joy pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments