OREGON (Amerika Syarikat) – Seorang ibu berusia 29 tahun menghasilkan kira-kira 6.4 liter susu sehari – 10 kali ganda melebihi susu yang dihasilkan wanita biasa.
Ini kerana wanita bernama Elisabeth Anderson-Sierra, dari Beaverton, Oregon, itu disahkan pakar perubatan sebagai menghidap keadaan pelik yang dikenali sebagai Sindrom Hiperlaktasi.
Akibatnya dia perlu menghabiskan hampir 10 jam sehari mengepam susu badannya bukan saja untuk anaknya tetapi juga untuk didermakan kepada bank susu serta keluarga yang memerlukannya.
Menurutnya, setakat ini dia derma 2,271 liter susu badannya. Elisabeth menganggarkan sudah membekalkan susu untuk ribuan bayi sejak melahirkan anak sulungnya Isabella yang kini berusia dua tahun setengah.
“Saya menghabiskan masa seharian untuk mengepam susu yang kemudian disimpan di dalam empat peti beku besar di kediaman saya sebelum diberikan kepada wanita yang tidak dapat menyusukan anak mereka.
“Saya turut menyumbang kepada bank susu untuk bayi pramatang. Ia bukan kerja mudah dan ada kalanya menyakitkan. Saya mengepam susu lima kali sehari – sebaik bangun pagi, selepas sarapan serta makan tengah hari dan malam, sebelum akhirnya pada tengah malam.
“Susu itu kemudian disimpan, dilabel dan disterilkan. Sungguh meletihkan tetapi saya gembira dapat membantu mereka yang memerlukannya,” katanya.
Menurut Elisabeth dia terpanggil untuk mendermakan susu badannya selepas mengalami kesukaran ketika kelahiran Isabella.
“Dia dilahirkan pramatang jadi saya tidak dapat menyusukannya dan dia terpaksa bergantung kepada susu yang didermakan.
“Saya memahami betapa penting untuk seorang ibu mengetahui anaknya mendapat susu badan sebaiknya,” katanya. – Agensi/myMetro Online
No comments:
Write comments