BENARLAH kata satu slogan tu, ‘Jangan sorak ketika menang kalau tak mampu sokong ketika kalah’… Sesuai sangat tu kalau ditujukan kepada rakyat Malaysia yang tak sudah ‘bantai’ Haziq Nadzil, selaku penjaga gol pasukan Harimau Muda kelmarin.
Sejak pasukan bawah 22 tahun Malaysia dikalahkan di laman sendiri pada Selasa lalu, ramai yang masih tak puas hati hanya disebabkan kesalahan yang tak disengajakan oleh Haziq.
Kalau dah bukan rezeki, main power macam mana pun… Tetap bukan rezeki kita. Meskipun gol itu dikatakan jaringan gol sendiri, tapi Haziq tetap gagah berdiri waima dikecam oleh ramai rakyat Malaysia.
Haziq juga sudah tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal menyelamatkan bola hasil daripada sepakan penjuru pasukan Thailand.
Walaupun terus dikecam, dia memilih untuk memberi penjelasan ketika ditanya tentang kesilapan yang tidak sengaja dilakukannya itu.
“Bola itu melencong ke dalam, saya nak tumbuk tetapi keadaan hujan menyebabkan saya tersilap ketika menumbuk keluar. Apa boleh buat, itu bukan rezeki saya, bukan saya sengaja. Kalau saya sengaja, tidak perlulah saya bermain,” katanya ketika ditemui oleh pihak media.
Memandangkan ketika perlawanan yang diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor itu secara kebetulan disertai dengan hujan dan kesilapan itu bukan sesuatu yang memang disengajakan.
“10 kali saya selamatkan gol, orang takkan ingat tetapi orang akan ingat sekali sahaja kesilapan saya. Siapa yang memberikan semangat kepada saya, terima kasih diucapkan. Siapa yang cakap macam-macam, itu hak mereka, saya tidak kisah,” katanya lagi dengan penuh kekecewaan.
Itulah yang sering kita cakap, jangan disebabkan satu kesalahan, semua kebaikan langsung kita tak nampak.
Apa pun, skuad Harimau Muda sudah buat sehabis baik sepanjang permainan selama 90minit itu berlangsung. Terima kasih kerana telah membanggakan negara Malaysia! – MYNEWSHUB.CC / Ainaa Hafizah
No comments:
Write comments