KISAH lelaki miskin di Ghana dapat ‘rezeki terpijak’ menunaikan haji menjadi tular di media sosial Turki, hanya kerana tanya sama ada dron jatuh di depan rumahnya boleh membawanya ke Makkah.
Al-Hassan Abdullah dilaporkan media akhirnya dapat mengerjakan ibadah Rukun Islam kelima itu dengan bantuan Kementerian Luar Turki dan badan kebajikan negara itu selepas tiba di Istanbul, pada Jumaat minggu lalu.
Menurut laporan, Abdullah menemui dron berkamera di kampungnya dan ketika menyerahkannya kepada krew penggambaran Turki yang memilikinya, dia bertanya sama ada mereka ada peralatan seumpamanya lebih besar.
Ini kerana dia berhajat untuk terbang mendirikan haji ke Arab Saudi tetapi tidak mampu. Perbualan itu menjadi tular hingga dilaporkan sampai ke pengetahuan Menteri Luar Turki, Mevlüt Çavusoglu yang terus tampil membantu.
Abdullah dipetik memberitahu agensi berita Turki, Anadolu: “Saya sangat bersyukur dengan rezeki Tuhan ini dan berdoa untuk semua yang sudi membantu saya apabila dapat mencapai impian ini.
“Bantuan ini terlalu bermakna. Saya percaya ia sesuatu yang mampu perbaiki persahabatan dan persaudaraan sesama Muslim,” ujarnya setiba dari Accra pada 18 Ogos lalu disambut badan amal Turki yang aktif di Ghana.
Sementara itu, Cihad Gökdemir, penolong pengurus badan kebajikan yang menyambut Abdullah di Istanbul berkata, kisah lelaki itu tersebar selepas kakitangan stesen TRT World memuat naik gambarnya di Twitter.
“Orang ramai termasuk ramai ahli perniagaan tempatan dan pelbagai syarikat swasta mula bertanya mengenai Abdullah kerana berebut-rebut mahu membantu dirinya untuk mencapai impian tersebut.
“Akhirnya dia berjaya dikesan oleh seorang anggota polis Turki yang kebetulan bertugas di Ghana,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments