REALITI hidup berjiran, tidak semuanya indah. Kadang-kadang buat ‘sakit hati’ saja apabila dapat jiran yang tidak bertimbang rasa.
Contohnya, sesuka hati mereka parkir kenderaan di kawasan rumah orang lain, sehingga ia menyusahkan tuan rumah yang ingin keluar masuk.
Itulah nasib yang dihadapi oleh seorang pengguna Facebook, Amar Hadi, apabila mendapat jiran yang langsung tidak reti bertolak ansur lagi bebal.
“Pening nak menghadap jiran seperti ini. Ada sesiapa boleh beri pendapat macam mana nak selesaikan masalah ini?
“Di perkarangan depan rumah saya, jiran letak kereta dia. Memang dia dah lama duduk di kawasan ini dan saya pula baru setahun.
“Apabila ditegur, dia kata dah berpuluh tahun dia parking di situ, tak ada orang bising pun,” tulisnya menerusi akaun Facebook pada 17 November lalu.
Menurut Amar, dia tak mahu mengeruhkan lagi keadaan namun ingin menyelesaikan secara baik dengan jirannya itu, namun individu itu dikatakan langsung tidak beri kerjasama.
Dia yang menetap di Ipoh, Perak tidak mahu memanjangkan hal ini sehingga membabitkan polis tetapi amat berharap jika jirannya memahami situasinya dan tidak mengulangi perbuatannya itu lagi.
“Takkan nak suruh polis tegur? Agak-agaklah parking pun. Susah ada jiran seperti ini. Kalau lebih sikit, saya tak kisah tapi sekarang semakin melampau-lampau.
“Sebelum ini pernah mengamuk dan jiran tak buat lagi. Dia alihkan pasu bunga dia di depan. Dah macam apa depan rumah, macam taman bunga. Sekarang dia mengulangi semula perbuatannya.
“Itu yang parking rapat-rapat dan dia pergi langgar pula kereta saya dengan sengaja. Tetapi tak nak mengaku dan tak mahu meminta maaf. Sebaliknya saya pula yang meminta maaf,” ujarnya.
Amar juga kesal dengan sikap jirannya yang langsung tidak menegur perbuatan saudara mara dan rakan-rakannya yang datang kemudian selamba meletakkan kereta mereka di depan rumah Amar.
“Kadang-kadang, kawan-kawan dan saudara mara dia datang, suka sangat parkingdepan rumah saya. Bila dah tahu saya start enjin kereta, bukannya tak dengar, siap tanya, ‘Nak keluar ke dik?’ Aduh!
“Sebelum ini juga dia pernah buat kenduri. Tak ajak tak kisahlah, tapi masalahnya saudara mara dia semua parking depan rumah saya,” katanya.
Menurut Amar, jika diikutkan hatinya sudah lama mahu diambil tindakan sendiri tetapi tidak mahu menjadikan hal itu dan mahu mengambil tindakan mengikut cara yang betul.
“Saya faham kereta dia besar. Nak ditegur, nanti sentap pula orang tua itu. Nanti saya juga yang dikatanya kurang ajar.
“Kalau ikutkan hati, memang saya nak ambil tindakan tetapi saya tidak mahu berbuat demikian kerana negara kita ada undang-undang.
“Sebenarnya kereta dia boleh lepas kalau dia lalu di depan rumah dia. Sekarang tak lepas disebabkan pokok bunga dia di kiri kanan depan rumahnya sampai ke bahagian luar.
“Itu yang menyebabkan dia kena ke belakang untuk memberi dia ruang jalan keluar masuk. Dan perkara ini juga menyusahkan saya,” katanya yang tiada niat mahu tularkan perkara itu di media sosial, sebaliknya hanya mahu bertanya pendapat rakan-rakan sahaja.
Sementara itu, netizen menasihatkan Amar membuat aduan mengenai masalah itu kepada pihak berkuasa tempatan, agar kereta jirannya itu ditarik dan dikenakan kompaun atas kesalahan parkir di tempat yang menghalang laluan keluar masuk penghuni rumah.
Bagaimanapun, Amar masih mempertimbangkan tindakan itu kerana bimbang perkara itu akan mengeruhkan lagi keadaan. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments