YANGON: Human Rights Watch (HRW), hari ini, menggesa Myanmar menghukum komander tentera dan polis, jika didapati membenarkan anggota mereka merogol serta mencabul wanita etnik Rohingya.
Kumpulan hak asasi yang berpangkalan di New York itu memaklumkan, pihaknya berjaya merekodkan kes rogol, rogol beramai-ramai dan kes keganasan seks lain terhadap remaja perempuan seawal usia 13 tahun.
Maklumat itu diperoleh hasil temu bual dengan beberapa mangsa yang berjaya melarikan diri ke Bangladesh.
Lebih 69,000 etnik Muslim Rohingya lari ke Bangladesh sejak empat bulan lalu selepas pasukan keselamatan Myanmar melancarkan beberapa serangan di pos kawalan sempadan.
"Keganasan seks ini tidak dilakukan secara rambang atau hanya ketika pelaku mempunyai peluang, tetapi ia adalah sebahagian daripada serangan sistematik dan terancang terhadap Rohingya disebabkan etnik dan agama mereka," menurut kenyataan media HRW.
Sementara itu, Reuters gagal mendapatkan jurucakap kerajaan Myanmar bagi menjawab tuduhan terbabit.
Ketika ini, ada kira-kira 1.1 juta etnik Muslim Rohingya tinggal di Rakhine, di barat negara itu tetapi pergerakan mereka sentiasa disekat dan dikawal.- REUTERS/BH Online
No comments:
Write comments