Monday, 27 February 2017

Pembantu Rumah Ditemui Mati Di Rumah Majikan


GEORGE TOWN – Seorang pembantu rumah rakyat Indonesia ditemui mati di rumah majikannya di Jelutong, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata wanita berusia 38 tahun itu dilaporkankan tergelincir dan rebah di tangga rumah teres dua tingkat milik majikannya pada pukul 12.45 tengah malam Sabtu.

“Majikan wanita berkenaan membawa pembantu rumahnya ke bilik untuk berehat dan pada hari yang sama iaitu kira-kira pukul 11.50 pagi, mangsa didapati tidak sedarkan diri,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata majikan mangsa kemudiannya menghubungi ambulans dan pemeriksaan pihak Hospital Pulau Pinang (HPP) mengesahkan pembantu rumah itu telah meninggal dunia.

Bedah siasat di HPP ke atas pembantu rumah itu mendapati punca kematian wanita berkenaan disebabkan oleh kecederaan akibat hentakan benda tumpul di dada, katanya.

Mior Faridalathrash berkata susulan itu polis menahan pasangan suami isteri tersebut, masing-masing berusia 42 dan 48 tahun bagi membantu siasatan.

Pembantu rumah itu mempunyai dokumen perjalanan diri dan permit kerja yang sah dan telah dua tahun bekerja di rumah pasangan suami isteri tersebut, katanya. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments