KUALA LUMPUR: Di sebalik pintu tidak bertanda di aras dua sebuah bangunan usang di kejiranan Little India di sini, wujudnya operasi syarikat peralatan ketenteraan digelar Glocom.
Glocom adalah syarikat dikendalikan ejen perisikan Korea Utara yang menjual peralatan radio tempur sebagai pelanggaran sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), menurut laporan PBB untuk Majlis Keselamatan yang diperoleh Reuters.
Reuters mendapati, Glocom mengiklankan lebih 30 sistem radio untuk organisasi 'tentera dan separa tentera' di laman web miliknya di Malaysia, glocom.com.my.
Laman web Glocom yang dipadam akhir tahun lalu, menyenaraikan alamat Little India di bahagian hubungannya. Tiada siapa menjawab panggilan di pejabat itu manakala peti surat di luar dipenuhi dengan surat tidak dibuka.
Tiada syarikat dengan nama itu wujud di Malaysia. Bagaimanapun, dua syarikat Malaysia dikawal pemilik saham Korea Utara dan pengarah mendaftarkan laman web Glocom pada 2009, menurut laman web dan dokumen pendaftaran syarikat.
Laporan deraf PBB berkata, ia sememangnya memiliki perniagaan disebutkan. Julai lalu, satu penghantaran udara peralatan komunikasi tentera Korea Utara dilakukan dari China menuju ke Eritrea, dipintas di sebuah negara tidak dinamakan.
Peralatan rampasan termasuk 45 kotak radio tempur dan aksesori dilabel 'Glocom', nama pendek untuk Global Communications Co.
Glocom dikawal Biro Peninjauan Awam (RGB), agensi perisikan Korea Utara ditugaskan dengan operasi luar negara dan pemerolehan senjata, kata laporan yang memetik maklumat tidak didedahkan.
Seorang jurucakap untuk misi Korea Utara di PBB memberitahu Reuters, beliau tiada maklumat mengenai Glocom.
Resolusi PBB 1874, diguna pakai pada 2009, melanjutkan embargo senjata ke atas Korea Utara untuk memasukkan peralatan tentera dan semua bahan berkaitan.
Namun pelaksanaan sekatan itu tidak mencukupi dan sangat tidak konsisten dalam kalangan negara anggota, kata laporan PBB, dengan Korea Utara menggunakan teknik mengelak yang meningkat dari segi skala, skop dan kecanggihan'.
Malaysia adalah satu daripada segelintir negara di dunia yang memiliki hubungan kuat dengan Korea Utara. Rakyat mereka boleh saling berkunjung tanpa visa.
Bagaimanapun, hubungan itu mula bertukar keruh selepas abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada 13 Februari lalu.
Menurut pangkalan data 'WHOIS', yang mendedahkan pemilikan laman web, Glocom.com.my didaftar pada 2009 oleh sebuah entiti digelar International Global System menggunakan alamat 'Little India'. Syarikat nama sama, International Golden Services disenarai sebagai orang hubungan di laman web Glocom.
Glocom dikendalikan cawangan syarikat Pyongyang berpusat di Singapura digelar Pan Systems, kata laporan deraf PBB, memetik invois dan maklumat lain.
Pengarah Urusan Pan Systems di Singapura, Louis Low, berkata syarikatnya pernah memiliki pejabat di Pyongyang sejak 1996, namun secara rasmi menamatkan hubungan dengan Korea Utara pada 2010 dan tidak lagi memiliki kawalan sebarang perniagaan di sana.
"Mereka menggunakan nama Pan Systems dan mengatakan ia syarikat asing, namun mereka mengendalikan segala-galanya sendiri," katanya. - Reuters
No comments:
Write comments