Sunday, 26 February 2017

Siti Aishah dijanjikan bayaran RM400 untuk 'program realiti'


SHAH ALAM - Warga Indonesia, Siti Aishah yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, iaitu abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un mendakwa menerima bayaran sebanyak RM400 untuk terlibat dalam satu rancangan TV berbentuk realiti.

Timbalan Duta Indonesia ke Malaysia, Andreano Erwin berkata, dia dimaklumkan oleh Siti Aishah bahawa dia menjadi mangsa ‘prank’ oleh individu yang tidak dikenali.

“Bagaimanapun Siti Aishah memaklumkan kepada pihaknya dia tidak menyedari bahawa itu adalah plot pembunuhan terancang.

“Siti Aishah mendakwa akan menerima bayaran sebanyak RM400 untuk kerja itu.

“Tapi, dia (Aishah) tidak menyebutkan secara spesifik. Dia hanya memberitahu telah dikenalkan kepada individu yang wajahnya mirip Jepun, Korea. Tapi dia tidak menyebutkan lebih spesifik dari mana,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Aishah mendakwa diberikan cecair seperti minyak untuk melaksanakan tugas itu.

“Siti Aishah juga memberitahu kami dia tidak mengenali seorang lagi suspek warga Vietnam yang turut terlibat kejadian berkenaan,” katanya.

Dalam masa sama, Andreano berkata, ketika pertemuan itu, Siti Aishah meminta supaya keluarganya di Indonesia tidak bimbang mengenai tentang keadaan dan kesihatannya.

Siti Aishah yang ditemui dalam keadaan sihat enggan dikunjungi keluarganya kerana tidak mahu mereka sedih melihat keadaannya.

“Dia (Aishah) hanya berpesan kepada ibu bapanya itu supaya menjaga kesihatan,” katanya.

Wakil Indonesia itu yang diizinkan melawat gadis tersebut selama 30 minit bagaimanapun enggan mengulas berhubung bukti-bukti lengkap terhadap gadis itu.

Tambahnya, itu tidak boleh saya komen di sini kerana ini masih dalam proses siasatan lagi.

Sebelum ini dalam satu kenyataan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata wanita bernama Siti Aishah dan dilahirkan di Serang, Indonesia, pada 11 Februari 1992 ditahan awal pagi 16 Februari lalu memegang pasport Indonesia.

Ia adalah wanita kedua ditangkap bersabit kematian Jong-nam susulan penahanan wanita dikenali sebagai Doan Thi Huong, 29, yang memegang pasport Vietnam di KLIA2. - Sinar Harian

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments