Friday, 24 February 2017

Serpihan Kayu Pool 15cm Tertusuk Di Kepala


MALANG menimpa seorang lelaki di China selepas terlibat dalam satu pergaduhan di dalam bilik Pool ketika bermain permainan itu bersama-sama dengan rakannya.

Mangsa lelaki yang dikenali sebagai Zhao, 35; bagaimanapun bernasib baik dan terselamat daripada maut meskipun diserang dengan batang kiu (cue stick) atau batang Pool dalam kejadian 21 Februari lalu.

Pergaduhan yang mulanya hanya sekadar bertikam lidah itu bertukar menjadi ganas dan Zhao telah diserang secara tiba-tiba oleh seorang lelaki lain dengan batang kiu miliknya di bahagian kepala sehingga objek tersebut patah.

Malah suspek berusia 50 tahun yang tidak didedahkan identiti itu bertindak mengambil serpihan kayu yang tajam itu lalu mengetuknya ke dalam kepala Zhao.

Mangsa mengalami kecederaan serius apabila serpihan kayu berukuran 15 sentimeter (cm) menembusi kepalanya.

Akibat serangan ganas tersebut, Zhao pengsan di lokasi kejadian tetapi orang ramai sempat menghentikan pergaduhan itu sementara menunggu polis tiba.

Manakala Zhao pula segera dibawa ke Hospital Nanning untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Imbasan sinar X yang dilakukan ke atas Zhao jelas menunjukkan objek sepanjang 15cm itu terbenam merentangi otaknya.

Bagaimanapun, pakar Hospital Nanning berjaya mengeluarkan objek itu daripada kepala Zhao dan dia dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menerusi maklumat orang awam, pihak polis mendapati suspek yang menyerang Zhao memiliki sejarah sakit mental.

Suspek bagaimanapun diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments