Monday, 27 February 2017

Seram Dengar Bunyi Tapak Kaki, Rantai Diseret Di Tengah Malam


SUDAH sebulan kami menyewa di Bangunan 25 Old Salata. Bangunan ini mempunyai enam tingkat. Setiap tingkat mempunyai empat unit rumah masing-masing dua rumah ada dua bilik dan dua lagi mempunyai tiga bilik.

Kadar sewa? Yang dua bilik 9,000 riyal, manakala yang tiga bilik 11,000 Riyal. Aku, Anifi, Harith dan Amin menyewa rumah dua bilik di tingkat satu.

Terdapat beberapa lagi rakyat Malaysia yang menyewa di bangunan sama. Sebahagian di tingkat satu - seperti kami - dan selebihnya di tingkat lima dan tingkat enam.

Sewa mahal, kan? Oh, lupa pula aku nak nyatakan, setiap rumah disewa ini dilengkapi perabot sepenuhnya. Dari ruang tamu, dapur sehinggalah bilik.

Sewaktu mula-mula tiba di Doha, soal hantu tidak pernah terlintas langsung dalam fikiran aku. Maklumlah, ini negara Arab, bukan kawasan Melayu yang biasanya dihidangkan dengan pelbagai jenis, nama dan jenama hantu?

Namun keadaan berubah selepas beberapa cerita dan kejadian yang berlaku membuat aku sedari "hantu" memang ada di mana-mana pun.

Sebelum aku meneruskan cerita, perlu kau semua tahu tidak ada hantu di dalam dunia. Yang ada cuma jin dan syaitan. Setiap roh orang yang telah meninggal dunia, tidak akan lagi kembali ke dunia. Ini aku yakin.

Jadi kalau kau pernah terjumpa mereka yang telah pergi di mana-mana itu adalah jin atau pun syaitan. Hantu - pada aku - hanya istilah urban orang Melayu untuk jin.

Dan nama-nama hantu yang wujud seperti pontianak, pocong, toyol, penanggal dan sebagainya hanya sekadar nama.

Yelah, kalau nak cerita tanpa sebut nama makhluk tu susahlah pulak. Jadi panjang sampai perlu ceritakan bentuk dan rupa untuk memahamkan orang lain, kan?

Rata-rata di mana-mana negara pun, perkara sama wujud. Setiap bangsa punya cerita legenda urban masing-masing. Yang pentingnya, di mana kalian berpaksi.

Menafikan kewujudan mereka adalah sesuatu yang dangkal. Mempercayainya secara melampau pula boleh merosakkan akal.

Selepas sebulan di Bangunan 25 ini, aku mula rasa ada satu kelainan. Ia bermula dengan rasa tidak tenteram apabila aku berada di rumah keseorangan. Baik siang atau malam.


Tapi perasaan itu tinggal perasaan. Tidak aku layan sangat. Tapi kadang-kadang agak merimaskan. Contohnya, apabila kau menonton televisyen, ada beberapa ketika kau terpaksa menoleh ke belakang. Sebab? Sebab terasa seperti ada orang memerhati dari belakang.

Kadang-kadang bukan di ruang tamu sahaja, dalam bilik dan dapur juga aku pernah merasainya. Mujur dalam bilik mandi tidak pernah.

Mulanya aku diamkan sahaja. Tidak aku ceritakan keada sesiapa pun. Dan kemudian, muncul perkara kedua. Tombol pintu utama sering digoncang dari luar. Bagai ada orang cuba untuk membuka pintu dari luar.

Mulanya aku fikir aku seorang saja yang mendengarnya, tapi rupa-rupanya tidak. Kawan serumah aku turut mendengarnya. Setelah sekian lama, akhirnya kami berbual mengenai perkara ini dan mencuba merasionalkan jawapan, namun gagal.

Suatu hari, aku kebetulan bercuti. Hari kedua cuti, sebenarnya. Oh, perlu aku maklumkan di sini, jadual kerja kami agak berbeza di Doha ini. Kami bekerja selama empat hari, dan kemudian bercuti empat hari pula. Tetapi, setiap satu hari kerja, kami bertugas selama 12 jam. Selalunya hari pertama cuti, kau biasanya hanya terkapar di atas katil. Penat.

Hari cuti yang kedua hari itu. Atau mungkin juga yang ketiga? Entah, aku tak berapa ingat. Anifi di dapur membasuh pinggan dan periuk. Sambil-sambil itu dia menyanyi lagu cinta. Ruang dapur dipenuhi dengan melodi melankolik dan mungkin juga berona cinta.


Aku di dalam bilik. Mengemas katil dan baju-baju yang berlambak. Jelas juga kedengaran suara serak Anifi dari dapur. Harith pula di dalam biliknya dan masih berbaring berselimut belang jingga dan putih.

Prang!

Tiba-tiba kedengaran seperti sesuatu dilemparkan di dalam sinki. Dan sepantas itu juga terdengar tapak kaki berlari dengan kuat memasuki bilik aku. Aku menoleh ke arah pintu dan ternampak Anifi.

“Woi, apasal?” tanya aku.

Harith juga kemudian bangkit dari malasnya dan sudah berdiri di depan pintu.

“Hah? Oh. Aaaaa tak ada apa-apa, hehehe,” jawab Anifi sambil tersengih-sengih.

“Pulak? Kau nampak hantu ke?” tanya aku lagi.

“Hehehehe. Tak adalah,” nafi Anifi.

Tengah hari aku bersantai di ruang tamu selepas selesai makan. Menyertai Anifi menonton filem.

“Tadi tu kenapa?” tanya aku kembali. Tak puas hati.

“Entah. Rasa macam ada orang berdiri kat belakang. Bila toleh tak ada sesiapa pun.”

“Oh, biasalah tu,” kata aku.

Hari pertama bekerja datang kemudiannya menjemput jiwa untuk berkhidmat. Cuaca panas makin terik membakar Doha yang berpasir. Pukul sembilan pagi, waktu rehat kami - orang Malaysia - berkumpul.

Aku perasan ada lagi wajah-wajah baru pagi itu. Dalam perbualan, tahulah akhirnya mereka pekerja baharu. Perbualan kami makin rancak. Ramai juga yang bertanya tentang hal rumah aku. Daripada bernada seram, akhirnya cerita itu membuahkan ketawa apabila ada yang berseloroh.

“Bang, budak ni kena lagi seram, bang,” sampuk seorang pemuda yang aku dah tak ingat namanya.

“Hah cuba cerita," tingkah Along.

Kami mengekek ketawa.

“Saya tinggal di Al-Sadd. Penginapan sementara tu.”

“Oh, yang rumah lama tu ya?” pintas aku.

“Aah. Pada malam pertama saya kat situ, saya dah nak tidur, pejam mata. Tiba-tiba dengar ada bunyi tapak kaki berjalan sambil seret rantai.”

“Pergh! Ini lagi ngeri! Kau bukak mata tak tengok benda apa tu?” tanya aku.

“Memang tak la, bang. Saya pejam mata kuat-kuat. Lepas tu dia duduk atas saya.”

“Eeee ngeri!”

Nasib baik aku tak pernah kena macam tu. Kalau tidak cirit-birit dah aku, apabila memikirkan semua benda yang aku dah alami. Syukur. Tapi kadang-kadang pelik jugakan? Dia kacau-kacau itu nak apa sebenarnya?

“Bal, kau dengar tak tu?” tegur Harith satu malam.

“Dengar apa?”

“Tu. Ha tu. Dengar tak?”

Aku memandang muka Harith. Kami senyap. Aku cuba menajamkan telinga untuk mendengar apa yang Harith dengar. Tak perlu tunggu lama, terus aku meremang. Jangan kata bulu tengkuk, bulu ketiak aku pun dah naik seram.

“Kau dengar tak?” tanya Harith lagi.

Aku diam. Sambil memandang keliling. Dan bunyi itu makin mendayu dan sayu. - Mstar

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments