MELAKA TENGAH - Suasana dalam operasi bersepadu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen negeri kecoh apabila seorang wanita warga China membuang air kecil dan muntah di dalam van penguat kuasa, hari ini.
Kedua-dua wanita berusia lingkungan 30-an itu 'buat hal' di dalam van penguat kuasa Imigresen sementara menunggu beberapa anggota menjalankan pemeriksaan di sebuah unit pangsapuri di Banda Hilir di sini, kira-kira jam 1.15 pagi.
Menurut sumber, sebelum kejadian terdapat beberapa anggota Imigresen ditugaskan untuk menjaga wanita terbabit bersama lima warga asing termasuk seorang dari Indonesia di lokasi kedua serbuan selepas menahan kesemua mereka di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya di sini.
"Ingatkan dia hanya muntah tapi masa dalam perjalanan ke lokasi ketiga anggota terbau hancing dan van dihentikan di sebuah stesen minyak berhampiran untuk memastikannya.
"Lantai van dibasuh di lokasi ketiga serbuan iaitu di sebuah rumah di Semabok dengan bantuan seorang penduduk berhampiran yang membenarkan anggota menggunakan air dan getah paip di hadapan rumahnya," katanya.
Sementara itu, Pengarah JPN negeri, Norazle Sulaiman berkata, wanita itu antara tujuh warga asing berusia 30 hingga 40 tahun yang ditahan dalam Ops ID JPN dalam empat lokasi serbuan selama tiga jam berakhir 2.30 pagi.
"Kesemua lima wanita dari China dan dua warga Indonesia termasuk seorang yang mempunyai anak perempuan berusia 8 tahun ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya. - Sinar Harian
No comments:
Write comments