KLANG: Seorang maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah lori di Lebuhraya SKVE menghala Pulau Indah, pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan pada jam 8.52 pagi.
"Sepasukan 23 anggota serta pegawai daripada tiga balai bomba dan penyelamat iaitu Banting, Pelabuhan Klang serta Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian.
"Kemalangan berkenaan membabitkan sebuah lori yang membawa bahan kimia jenis Toluene (UN 1294), sebuah lori membawa gas memasak dan sebuah lori kontena yang sudah terbakar," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Banting dengan ambulans. Difahamkan, mayat pemandu lori terbabit terputus dua akibat perlanggaran itu.
"Mayat pemandu lori kontena, masih berada di dalam di lokasi kerana terdapat kebocoran pada lori yang membawa bahan kimia," katanya.
Mohd Sani berkata, pihaknya belum dapat mengenal pasti sama ada kontena itu membawa muatan atau sebaliknya. - BHonline
No comments:
Write comments