Monday, 27 February 2017

Banduan Lolos: Polis Siasat Kecuaian Tiga Anggotanya


KOTA KINABALU – Polis sedang membuat siasatan menyeluruh sama ada berlaku kecuaian tiga anggotanya sehingga menyebabkan banduan kes rogol dan samun melarikan diri di, Beluran, Sandakan, Sabtu lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata seorang pegawai dan dua anggotanya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran bakal berdepan dengan tindakan tatatertib sekiranya didapati melakukan kecuaian terhadap kes berkenaan.

“Siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian berkenaan berlaku masih dalam siasatan dan kini kita masih giat memburu suspek yang telah melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Lawatan Kerja Pesuruhjaya Polis Pasukan Polis Diraja Brunei Datuk Seri Mohd Jammy Muhd Shah Al Islam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam Sabtu lepas, suspek yang dikenali Nasrudi@Sudi Ambo, 29, meloloskan diri daripada kawalan tiga polis dan suspek dipercayai melarikan diri dengan keadaan tangan bergari menuju ke kebun kelapa sawit berhampiran.

Suspek yang juga warga Indonesia itu disyaki terlibat dalam kes rogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dan turut menyamun mangsa bersama tunangnya pada 18 Februari lepas.

Ramli juga meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes berkenaan yang disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments