DUNIA hiburan tanah air menerima perkhabaran sedih apabila pelakon dan personaliti TV, Ary Malik disahkan meninggal dunia sebentar tadi.
Ary, 46, yang sebelum ini dilaporkan kritikal akibat menghidap kanser ovari tahap empat menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang kira-kira jam 7.17 malam tadi.
Berita kematiannya disahkan Harian Metro menerusi laman Twitter sebentar tadi.
Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Danau Kota, Setapak, malam ini.
Semalam, suami Ary, Shahrul Nizam Shaharuddin, memaklumkan masih lagi menunggu pemeriksaan doktor pakar memandangkan isterinya masih lagi tidak sedarkan diri sejak beberapa hari lalu.
Ary mula dimasukkan ke hospital itu sejak 18 Februari lalu selepas keadaannya semakin lemah sebelum mula tidak sedarkan diri.
Ary atau nama sebenarnya Nurita Maliha Aryanee Malik disahkan menghidap kanser itu sejak setahun lalu.
Bekas pengacara MTV ini pernah menjalani pembedahan bagi membuang kanser terbabit di Hospital Tuanku Mizan,Wangsa Maju, Mei lalu.
Allahyarhamah yang cukup terkenal sebagai hos pada era 90-an ini pernah menyertai rancangan realiti iaitu MasterChef Malaysia terbitan Astro pada tahun 2012 dan layak sehingga ke peringkat akhir.
Hasil perkahwinannya dengan Shahrul Nizam atau lebih dikenali sebagai Sha Bromo, mereka memiliki tiga orang anak perempuan iaitu, Nurh Zoe Iman Malik, 19, Dinda Pelangi Timor Malik, 13, dan Ratu Chinta Mecca Malik yang berusia 11 tahun. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments