Monday, 6 February 2017

Sindiket jual ijazah palsu tak akan terlepas

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi akan mengambil tindakan tegas ke atas sindiket yang menjual kelulusan akademik palsu secara dalam talian. 

Menteri, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata kementerian sedang mencari pendekatan bagi membolehkan pihak terbabit diambil tindakan mengikut undang-undang. 

"Saya ingin memberi amaran keras bahawa kementerian tidak akan berdiam diri dan akan mengambil tindakan tegas. 
"Kita sedang berbincang cara mana kita boleh ambil tindakan tegas, kita tidak mahu penyelewengan seperti ini terus berlaku," katanya selepas menghadiri majlis kerjasama antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan Cambridge Malaysian Education and Development Trust (CMEDT) di sini, hari ini. 

Yang turut hadir hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching; Pengerusi Eksekutif CMEDT, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin. 

Media baru-baru ini mendedahkan terdapat laman sesawang yang menawarkan pelbagai peringkat kelulusan akademik termasuk doktor falsafah (PhD) yang boleh didapati dalam masa 24 jam. 

Kelulusan berkenaan ditawarkan antara RM11,000 hingga RM15,000 dan mendakwa boleh mendapatkan kelulusan dari universiti terkenal pelbagai negara di seluruh dunia. 

Kementerian sebelum ini dalam satu kenyataan berkata sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai sindiket itu. 

Sementara itu, Idris berkata kerjasama yang dijalinkan UPSI dengan CMEDT bertujuan memperkasa penggunaan bahasa Inggeris di UPSI melalui aplikasi yang baru dibangunkan iaitu Cambridge Accessible Tests (CATs). 

"Program aplikasi pembelajaran dalam talian ini akan dapat mengukur kebolehan pelajar menggunakan bahasa Inggeris sama ada dengan membaca, menulis dan mendengar. 

"Kerjasama ini juga akan dapat memastikan kita akan dapat satu pembelajaran bahasa Inggeris yang berkualiti dan guru bahasa Inggeris UPSI juga diiktiraf setaraf dengan guru-guru bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa kerana mereka akan diberikan 'Common European Framework of Reference," katanya. - BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments