MANGSA terbunuh, Srinivas Kuchibhotla yang datang ke AS pada 2005 untuk meneruskan pengajian peringkat sarjana di Universiti Texas dan bekerja di Iowa selama enam tahun sebelum berpindah ke Kansas City. - Foto Hindustan Times
KANSAS: Dua lelaki berketurunan India ditembak dalam bar yang sesak oleh seorang penyerang yang menjerit 'keluar dari negara saya'.
Kejadian menyebabkan seorang terbunuh dan seorang lagi cedera manakala seorang yang cuba membantu turut cedera.
Beberapa jam kemudian, bekas pengawal trafik udara itu, Adam Purinton, 51, dilaporkan memberitahu pelayan bar di sebuah bandar lain dia memerlukan tempat untuk bersembunyi kerana baru membunuh dua lelaki dari Asia Barat.
Di India, bapa seorang daripada lelaki yang cedera menyifatkan serangan itu sebagai jenayah benci, tetapi pihak berkuasa enggan membincangkan motif kerana masih menyiasat kejadian itu.
Kejadian menambahkan kebimbangan mengenai layanan terhadap pendatang yang berasa menjadi sasaran janji Presiden Donald Trump melarang kemasukan rakyat beberapa negara, mendirikan tembok di sempadan Mexico, dan meletakkan keutamaan kepada rakyat AS.
Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Srinivas Kuchibhotla, 32, yang datang ke AS pada 2005 untuk meneruskan pengajian peringkat sarjana di Universiti Texas dan bekerja di Iowa selama enam tahun sebelum berpindah ke Kansas City.
Balunya, Sunayana Dumala, berkata suaminya tidak sepatutnya mati dalam keadaan itu.
"Saya tidak tahu apa hendak dikata. Kami kerap membaca dalam akhbar mengenai kejadian seperti ini di sana sini.
Saya amat bimbang," katanya dalam sidang akhbar oleh majikan suaminya, pengeluar GPS, Garmin.
Sementara itu, Purinton ditangkap dan boleh dipenjarakan atas dakwaan membunuh serta cubaan membunuh.
Dia dijangka hadir di mahkamah buat kali pertama, Isnin ini. - AP
No comments:
Write comments