SATU rakaman yang memaparkan suspek wanita kes pembunuhan Kim Jong-nam, Siti Aisyah gembira menyambut kelahirannya awal bulan ini mula menjadi tular menerusi media sosial.
Rakaman berdurasi selama 1 minit 4 saat yang dimuat naik oleh China Press Daily melalui YouTube pada Sabtu memaparkan Siti Aisyah ceria merakamkan pertemuannya dengan seorang rakan lama bernama Kak Lin.
Ia dirakamkan ketika majlis sambutan hari lahirnya dan dipercayai berlaku sehari sebelum Jong-nam dibunuh warga Indonesia itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di Sepang, Selangor pada pagi 13 Februari.
Bagaimanapun, wajah Kak Lin dalam video tersebut telah dikaburkan. Identiti sebenar wanita berkenaan juga masih menjadi misteri sama ada dia merupakan antara ejen perisik asing atau sekadar sahabat Siti Aisyah semata-mata.
Dia tidak memakai tudung dan bertutur bahasa Indonesia. Lazimnya ejen pengintip Korea Utara gemar berkumpul di Restoran Pyongyang di Jalan Imbi di ibu negara dan aktiviti rahsia itu sudah berlaku lebih dua dekad lalu.
Siti Aisyah, yang memakai blaus berwarna merah memulakan percakapan dalam rakaman video dengan memberitahu bahawa dia sudah lama tidak bertemu dengan Kak Lin yang dikenalinya enam tahun lalu.
“Dari Kak Lin tak kahwin lagi, sampai sekarang Kak Lin dah mengandung,” katanya. Kedua-dua wanita itu berbual mesra, sambil Siti Aisyah menyatakan bahawa dirinya begitu merindui sahabatnya itu.
Malah Kak Lin sempat mengusik menyatakan Siti Aisyah kini umpama seorang artis. Siti Aisyah bagaimanapun hanya ketawa setelah mendengar ayat usikan tersebut sebelum dia kemudian mematikan rakaman.
Siti Aisyah adalah antara empat individu yang berjaya ditahan oleh pihak polis susulan pembunuhan misteri abang tiri kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, dua minggu lalu.
Berdasarkan laporan, dia lahir pada 11 Februari 1992 di Serang, Indonesia, manakala empat dalang yang disyaki merancang pembunuhan itu telah meninggalkan Malaysia dan tiga lagi suspek sedang diburu. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments