Thursday, 16 February 2017

11 geng 'Penang Young Star' warga Nepal ditahan

KETUA kumpulan (tengah) kongsi gelap warga Nepal dikenali 'Penang Young Star' ditahan polis malam tadi.

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan 11 geng kongsi gelap warga Nepal dikenali 'Penang Young Star' yang terbabit dalam pelbagai kes jenayah peras ugut warga asing dalam serbuan di Juru dan Taman Perwira di sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan berasingan pada jam 12.30 pagi itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai ketua kumpulan berkenaan yang baharu tiba dari Kuala Lumpur. 

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata semua suspek yang ditahan termasuk dua wanita berusia antara 22 hingga 36 tahun. 

"Dalam serbuan di dua rumah itu, kami turut merampas beberapa bendera dan peralatan yang digunakan kumpulan berkenaan untuk upacara ritual bagi ahli baharu yang mahu menjadi anggota geng berkenaan. 

"Kesemua suspek memiliki tatu di badan dan tidak memiliki pekerjaan tetap dan dipercayai mereka hanya melakukan peras ugut ke atas pekerja asing warga Nepal bagi mendapatkan wang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini. 

Nik Ros berkata, pihaknya kini giat mengesan ahli kumpulan berkenaan yang masih bebas bagi menghapuskan kegiatan kongsi gelap warga asing yang mengakibatkan keresahan dalam kalangan masyarakat tempatan. 

"Siasatan lanjut mendapati kumpulan berkenaan aktif sejak setahun lalu, dan mempunyai lebih 20 ahli yang aktif. "Semua suspek kini ditahan selama dua minggu untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63," katanya. - BH Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments