Thursday, 16 February 2017

Dua lelaki mengaku tidak bersalah rogol luar tabii remaja bawah umur

NORAIZAL Nadreen(kiri) dan V Poobalan dibawa oleh anggota polis selepas mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas remaja bawah umur di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

AYER KEROH: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua tuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas remaja bawah umur di sebuah premis di Taman Tasik Utama, bulan lalu.

Noraizal Nadzreen Khairunnadzri dan V Poobalan masing-masing berusia 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan berasingan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar. 

Noraizal Nadzreen didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah pangsapuri di Taman Tasik Utama, kira-kira jam 4 petang, awal Januari lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. 

Poobalan pula didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii ke atas mangsa dan di lokasi sama, kira-kira jam 4.30 petang, akhir Januari lalu. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebat. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh. 

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam bela N Gunalan merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan Noraizal Nadzreen bekerja sebagai pengawal keselamatan berpendapatan RM1,300, manakala Poobalan pula tidak bekerja. 

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mac depan bagi tarikh sebutan semula kes. - BH Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments